SEOUL, 26 Ogos- Korea Selatan bersedia menghadapi sebarang provokasi dari Korea Utara dan sedang memantau aktiviti ketenteraannya, termasuk ujian 'dron bunuh diri' yang disaksikan Kim Jong Un baru-baru ini, kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS).
"Kami memahami bahawa beberapa hadiah (dron) telah diberikan dalam pertukaran antara Korea Utara dan Rusia pada masa lalu.
"Kami perlu menganalisis pelbagai langkah untuk melihat jika prestasi mereka (Korea Utara) telah ditingkatkan," kata jurucakap JCS dalam satu taklimat.
Ketika ditanya mengenai persamaan visual antara beberapa dron Korea Utara dengan ZALA Lancet buatan Rusia dan Shahed oleh Iran, JCS mengatakan lebih banyak analisis diperlukan.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) sebelum ini mengeluarkan imej menunjukkan empat jenis dron berbeza telah dilancarkan Korea Utara.
Korea Utara yang bersenjata nuklear mempunyai hubungan rapat dengan Rusia dan Iran.
Terdahulu, beberapa dron Korea Utara melintasi sempadan ke Selatan pada tahun 2022 dan pernah memasuki zon larangan terbang di sekitar pejabat Presiden Seoul. - REUTERS
BERITA BERKAITAN: