BANGKOK, 26 Ogos - Mahkamah Thailand akan menjatuhkan hukuman terhadap anak lelaki pelakon terkenal Sepanyol yang dituduh membunuh dan memotong anggota seorang pakar bedah plastik Colombia yang dikenalinya secara dalam talian.
Dia dituduh membunuh dan memotong anggota Edwin Arrieta Arteaga di pulau pelancongan Koh Pha Ngan, tahun lalu.
Perbicaraannya atas tuduhan membunuh dengan niat, menyembunyikan mayat dan memusnahkan dokumen telah diadakan pada bulan April di Koh Samui.
Sancho mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat, tetapi kekal dipenjara selepas dia mengaku membunuh Arrieta, 44 dengan alasan mahu mempertahankan diri.
Dia juga mengaku menyembunyikan mayat, tetapi menafikan memusnahkan pasport mangsa.
Sebelum itu kedua-duanya telah bersetuju untuk bertemu selepas berkenalan dalam talian.
Ketika perbicaraan Sancho mengaku telah menyimpan bahagian-bahagian tubuh Arrieta dalam beg plastik dan membuangnya di sekitar Koh Pha Ngan.
Walaupun jenayah itu boleh dijatuhi hukuman mati namun keluarganya berharap supaya suspek hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
"Biarkan dia kekal di Thailand supaya dia boleh mengambil masa untuk hidup, untuk memikirkan apa yang dia lakukan," kata kakak mangsa Darling Arrieta dalam sebuah dokumentari HBO mengenai kes tersebut.
Kes terhadap Daniel Sancho Bronchalo seorang chef berusia 30 tahun dan anak kepada pelakon Rodolfo Sancho telah menarik perhatian besar di negara asalnya dengan ramai wartawan dari Sepanyol datang ke Thailand untuk membuat liputan mengenai perbicaraan tersebut.- AFP