GENEVA, 21 Ogos- Wabak mpox bukanlah satu lagi COVID-19, jelas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sambil membandingkan antara kedua-dua virus itu bahawa mpox bukan wabak asing, malah cara untuk mengawalnya telah diketahui pakar.
Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge berkata lebih banyak penyelidikan diperlukan bagi strain Clade 1b yang mencetuskan kecemasan kesihatan awam oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), namun beliau yakin penularan mpox mampu dikawal.
Clade 1b merebak terutama melalui penularan seksual dalam kalangan orang dewasa.
"Mpox bukan COVID-19 baharu. Kami tahu untuk mengawal mpox," katanya pada taklimat media di sini menerusi pautan video.
Kluge juga berkata risiko mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet kepada penduduk adalah rendah.
"Adakah kita akan berkurung, (seolah-olah) ia adalah satu lagi COVID-19? Jawapannya jelas: 'tidak'," katanya.
Tambah beliau lagi terdapat kemungkinan seseorang dalam fasa akut jangkitan mpox, terutama dengan lepuh dalam mulut, boleh menularkan virus melalui titisan air liur.
"Cara penularan masih agak tidak jelas. Lebih banyak kajian diperlukan," katanya sambil mengesyorkan penggunaan topeng separuh muka untuk mengelak jangkitan.
Pada Julai 2022, WHO mengisytiharkan darurat berhubung wabak antarabangsa bagi jenis mpox Clade 2b yang kurang teruk, kebanyakannya menjejaskan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Penggera itu telah ditarik balik pada Mei 2023. - AFP