fb fb fb fb fb

Saintis bimbang peningkatan kes disambar kilat di India

FOTO HIASAN

NEW DELHI, 27 Ogos- Perubahan iklim dunia mendorong peningkatan 'membimbangkan' mengenai serangan kilat di India yang meragut kira-kira 1,900 nyawa setahun, kajian saintis.

Pasukan penyelidik diketuai oleh Universiti Fakir Mohan di Odisha melaporkan panahan kilat menyebabkan 101,309 kematian antara tahun 1967 dan 2020 dengan peningkatan mendadak antara 2010 dan 2020.

"Hasilnya menunjukkan peningkatan berterusan dalam aktiviti kilat di India meletakkan ia sebagai pembunuh utama dalam kalangan bencana alam disebabkan perubahan iklim.

"Malah ia menjadi semakin tidak dapat diramalkan," lapor kajian itu.

Data menunjukkan purata kematian tahunan bagi setiap negeri di India meningkat daripada 38 kes bagi tempoh 1967 hingga 2002 kepada 61 dari 2003 hingga 2020 -- tempoh ketika penduduk negara itu berkembang pesat kepada 1.4 bilion orang.

Tambah kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Alam Sekitar, Pembangunan dan Kelestarian, jumlah kematian yang tinggi di India juga disebabkan kelemahan sistem amaran awal dan kurangnya kesedaran tentang cara mengurangkan risiko disambar kilat.

Sambaran kilat menjadi perkara biasa di India semasa musim hujan monsun pada Jun hingga September.

SITI AISHAH MD ISA