fb fb fb fb fb

88 kes mpox di Indonesia

Ilustrasi partikel virus mpox/Reuters

JAKARTA, 20 Ogos- Indonesia merekodkan sekurang-kurangnya 88 kes mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, dari 2022 hingga tahun ini, dengan wilayah Jakarta menjadi yang paling teruk terjejas, menurut Kementerian Kesihatan.

Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Dr Yudhi Pramono mendedahkan bahawa taburan kes termasuk 59 di Jakarta, 13 di Jawa Barat, sembilan di Banten, masing-masing tiga di Jawa Timur dan Yogyakarta dan satu di Kepulauan Riau.

"Daripada jumlah itu, 87 kes telah pulih. Kemuncak kes mpox yang disahkan berlaku pada Oktober 2023, seperti yang ditunjukkan dalam trend mingguan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa varian Clade IIb, yang mempunyai kadar kematian yang lebih rendah dan kebanyakannya tersebar melalui hubungan seksual, terlibat dalam 54 daripada kes itu. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA