fb fb fb fb fb

Lebih 16,000 kes cacar monyet direkodkan di Congo

Doktor memberi khidmat nasihat kepada di sebuah hospital di utara Goma/ AFP

KINSHASA, 20 Ogos- Kes jangkitan dan kematian akibat cacar monyet (mpox) di Republik Demokratik Congo (DRC) terus meningkat.

Menteri Kesihatan, Samuel-Roger Kamba memaklumkan, kes wabak meningkat kepada 16,700 dan lebih 570 kematian direkodkan.

"Kami bercakap tentang kecemasan", kata Kamba dalam sidang media ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru negara-negara yang terjejas untuk meningkatkan program vaksinasi untuk mengekang penularan penyakit tersebut yang menyebabkan kematian.

Beliau berharap, bekalan vaksin daripada Amerika Syarikat dan Jepun, diperoleh minggu depan.

"Vaksin itu adalah penyelesaian kepada masalah kami. Pelan vaksinasi strategik kami sudah sedia. Kami hanya menunggu vaksin tiba", katanya.

Sementara itu, Amerika Syarikat telah menjanjikan 50,000 dos vaksin untuk DRC. Manakala Jepun pada Isnin bersetuju untuk menghantar 3.5 juta dos, hanya untuk kanak-kanak," menurut sumber perubatan, yang enggan dikenali, memberitahu AFP.

Sumber itu berkata bahawa DRC merancang untuk memberi vaksin kepada empat juta orang, termasuk 3.5 juta kanak-kanak.

Rabu lalu, WHO telah mengisytiharkan lonjakan cacar monyet di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam global.

Wabak itu juga telah dilaporkan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda sejak Julai lalu. Satu kes baharu juga telah dikesan di Sweden.-AFP

ROSLINA BINTI DIN