
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Skuad sepak takraw negara menerima berita kurang baik menjelang aksi final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw apabila, tekong utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi disahkan tidak diturunkan menentang Thailand malam ini akibat kecederaan.
- Ketua jurulatih Ahmad Jais: Mohammad Syahir masih menjalani rawatan, dijangka memerlukan satu hingga tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.
- Pasukan menunggu keputusan ultrasound sebelum melaksanakan program pemulihan seterusnya.
- Barisan kejurulatihan pertimbangkan Muhammad Haziq atau Zarif Marican sebagai tekong utama pengganti.
- Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jepun 2-0; sebelumnya mengetepikan Indonesia 2-0.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pemain itu masih menjalani rawatan dan belum bersedia kembali beraksi, selain dijangka memerlukan tempoh antara satu hingga tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Memang tak main. Kita tak mahu ambil risiko kerana dia belum bersedia dari segi tahap kecergasan. Kita juga masih menunggu keputusan ultrasound untuk program pemulihan seterusnya.
“Satu hingga tiga bulan mungkin, bergantung kepada tahap kecederaan. Kita harap tiada kecederaan serius,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ketiadaan ‘Tekong Terbaik Dunia’ itu memaksa barisan kejurulatihan membuat percaturan baharu dengan memilih sama ada Muhammad Haziq Hairul Nizam atau Zarif Marican Ibrahim Marican untuk menggalas tugas sebagai tekong utama pada aksi final.
“Nanti kita bincang dengan pihak pengurusan untuk lineup malam ini,” katanya.
Pada aksi suku akhir semalam Mohammad Syahir mengalami kecederaan pada penghujung set pertama sebelum digantikan dengan Zarif Marican.
Walaupun kehilangan tonggak utama itu, Malaysia tetap mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jepun 2-0.
Terdahulu, Malaysia mengesahkan pertemuan pentas akhir menentang seteru utama, Thailand selepas mengetepikan pencabar Indonesia 2-0.-Bernama