
SHAH ALAM, 23 Mei – Bagi menyemarakkan budaya hidup sihat dan aktif, Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) RTM bersama rakan strategik menganjurkan RTM x SPR Pickleball Tournament, di Pickle Nation, di sini hari ini.
- Kejohanan menunjukkan komitmen RTM menyokong perkembangan sukan pickleball dan memperkukuh semangat kesukanan serta kerjasama warga kerja.
- RTM merakamkan penghargaan kepada Datuk Steven Raj atas sokongan penganjuran kejohanan.
- Program bertujuan menggalakkan budaya hidup sihat, memperkenalkan pickleball dan meningkatkan prestasi kerja staf.
- Kejohanan berjaya menyatukan seluruh warga RTM dan perancangan anjur lebih banyak aktiviti sukan akan diteruskan.
Kejohanan itu menghimpunkan warga RTM dalam suasana santai dan kompetitif menerusi pelbagai aktiviti termasuk klinik asas pickleball, perlawanan sosial serta pertandingan berkumpulan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata penganjuran kejohanan itu mencerminkan komitmen RTM dalam menyokong perkembangan sukan pickleball selain memperkukuh semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan warga kerja.

“Bagi pihak RTM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Christopher Raj (Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR) atas segala sokongan yang diberikan.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bagi menjayakan acara sukan, malah turut menyokong perkembangan sukan pickleball secara keseluruhan serta meneruskan legasi masyarakat yang sentiasa menyokong pembangunan negara, dan itu merupakan perkara paling penting,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KKS RTM Ismail Seman berkata, program tersebut diadakan bagi menggalakkan budaya hidup sihat selain memperkenalkan sukan pickleball yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Dengan adanya kesihatan yang mantap, ia dapat membantu meningkatkan prestasi kerja dalam kalangan warga jabatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan pada masa akan datang sebagai usaha membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga RTM.
Dalam pada itu, juara berkumpulan pickleball, Faris Izzat Shaharudin berkata, kejohanan berkenaan berjaya menyatukan seluruh warga RTM termasuk pengacara, penyampai berita dan kakitangan di belakang tabir.
“Ini kejohanan pertama di RTM, jadi semua memang teruja dan berharap selepas ini kita dapat sertai lebih banyak kejohanan termasuk di peringkat media,” katanya.