
Chia-Soh Wooi Yik – Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei melangkah ke pentas akhir Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Unifi Arena, di sini hari ini.
- Menewaskan pilihan utama dalam straight set, menampilkan permainan cemerlang dan ketenangan ketika persaingan mata sengit.
- Set pertama 21-18 ditentukan oleh ketenangan, set kedua 21-12 selepas mereka lebih agresif dan menguasai permainan.
- Perlawanan hanya 33 minit, menghidupkan peluang hadiah kejuaraan buat Malaysia di laman sendiri.
Pasangan negara itu menampilkan permainan cemerlang untuk menundukkan pilihan utama kejohanan berkenaan dalam straight set.
Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua beregu saling bersaing mata, namun ketenangan serta permainan kemas dipamerkan SzeFei-Izzuddin membolehkan mereka meraih kemenangan 21-18.
Momentum positif itu diteruskan dalam set kedua apabila pasangan profesional negara tampil lebih agresif dan berjaya menguasai permainan untuk menang 21-12.

Sze Fei-Izzuddin hanya memerlukan 33 minit untuk mengesahkan slot ke pentas akhir, sekali gus menghidupkan peluang menghadiahkan kejuaraan buat Malaysia di laman sendiri.
Sementara itu, Sze Fei mengakui tekanan yang dihadapi pasangan lawan turut memberi kelebihan buat mereka untuk mengawal perlawanan.

“Saya kami menang hari ini bukan sebab kami lebih bagus, tetapi saya rasa mereka (Aaron-Wooi Yik) bermain dalam tekanan yang tinggi dan mereka bukan berada pada prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui selepas aksi separuh akhir Malaysia Masters 2026.
Pasangan negara itu akan berdepan sama ada pasangan negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King atau gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada perlawanan akhir esok.