
KOTA BHARU, 23 Mei – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimis sasaran jualan Program Jualan Agro MADANI Mega 2026 mampu dicapai menerusi
pelaksanaan sembilan siri program di seluruh negara tahun ini.
- KPKM optimis sasaran jualan Program Jualan Agro MADANI Mega 2026 mampu dicapai melalui sembilan siri program di seluruh negara.
- Tahun lalu jualan melebihi RM101 juta dengan kira-kira 4,000 pempamer; tahun ini lebih 500 program, jualan melebihi RM8 juta.
- Kementerian memantau bekalan makanan mencukupi, meluluskan peruntukan khas RM300 juta setahun bagi memastikan bekalan setiap negeri terjamin.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, program di Kelantan merupakan siri kedua selepas Sabah, sebelum diteruskan di Pahang dan Johor bulan depan.
Menurut beliau, penganjuran tahun lalu berjaya merekodkan jualan melebihi RM101 juta dengan penyertaan kira-kira 4,000 pempamer dari seluruh negara.
Bagi tahun ini, lebih 500 program telah dilaksanakan setakat ini dengan nilai jualan melebihi RM8 juta, selaras hasrat kementerian untuk membantu rakyat mendapatkan barangan segar pada harga berpatutan.
Usaha tersebut turut membuka peluang kepada usahawan tempatan dan industri kecil sederhana (IKS) memasarkan produk mereka.
”Tahun ni terdapat sembilan Program Jualan Agro MADANI Mega 2026, dengan enam akan kita adakan pada bulan depan di Johor dan Pahang.
“Ketika ini program menepati sasaran, dengan jualan2 khas memberi peluang kepada penduduk dapatkan barang pada harga murah. Untuk menggalakan penduduk melibatkan diri, kita beri lebih 9,000 voucher telah diagihkan.” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jualan Agro MADANI Mega @Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong Kota Bharu, hari ini.
Program selama tiga hari itu menyasarkan nilai jualan RM750,00 dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.
Seramai 204 pempamer mengambil bahagian melibatkan enam kluster utama, termasuk makanan popular dan viral, kluster segar, Industri Asas Tani, florikultur, pameran agensi dan kraftangan.
Mengulas isu bekalan makanan, Datuk Luqman berkata, KPKM telah menjalankan simulasi mengambil kira faktor musim perayaan, cuaca tidak menentu dan konflik di Asia Barat, dengan hasil pemantauan mendapati bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun ini.
Menurut beliau, kementerian memberi jaminan bekalan santan, kelapa dan sayur-sayuran masih terkawal meskipun berlaku sedikit peningkatan harga akibat faktor permintaan dan kos pengangkutan.
Jelasnya lagi, kenaikan harga barangan tertentu bukan berpunca daripada konflik Asia Barat memandangkan sebahagian besar bekalan makanan asas negara seperti beras diimport dari Thailand, Vietnam, India dan Pakistan yang tidak terlibat dalam peperangan.
Kerajaan menerusi Dasar Agromakanan Negara turut melaksanakan pelbagai inisiatif jangka panjang.
Termasuk, peruntukan khas RM300 juta setahun yang diluluskan Kementerian Kewangan bagi memastikan keperluan bekalan makanan di setiap negeri mencukupi demi kesejahteraan rakyat.