
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Kesembilan terhadap 18 Orang Kena Tuduh (OKT) di Taman Permainan Kanak-Kanak, Jalan Metro Perdana Timur 5, Kepong, hari ini atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.
- Pesalah menjalani PKM empat jam bermula 9.00 pagi, dilaksanakan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 Pindaan 2025.
- Mahkamah mengarahkan 21 pesalah berumur 20 hingga 50 tahun menjalani hukuman, dilaksanakan secara terkawal dan beretika tanpa menjejaskan maruah.
- Pelaksanaan dipantau rapi pegawai SWCorp, menekankan aspek keselamatan, kebajikan pesalah serta penyediaan vest dan pelitup muka.
Turut dikenakan hukuman adalah tiga lagi individu di atas kesalahan lain.
Kesemua OKT menjalani PKM selama empat jam bermula pukul 9.00 pagi dan mereka dikenakan hukuman mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) (Pindaan 2025).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan PKM ini membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat, selain bertujuan membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam.
“Seramai 21 pesalah berumur antara 20 hingga 50 tahun diperintahkan mahkamah untuk menjalani hukuman tersebut dan ia dilaksanakan secara terkawal, beretika selain mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang pelaksanaan hukuman tersebut, pesalah ditugaskan melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam.
Bagi memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), setiap pelaksanaan PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan, dengan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebajikan pesalah termasuk penyediaan kelengkapan perlindungan diri yang bersesuaian seperti vest dan pelitup muka sepanjang pelaksanaan tugasan di lapangan.
Pelaksanaan PKM ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal negara.
Terdahulu, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 7919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri di bawah Akta 672 melibatkan 5708 warganegara tempatan dan 2211 warganegara asing.
Manakala,SWCorp Wilayah Persekutuan pula telah mengeluarkan sebanyak 1292 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di empat cawangan di bawah Akta 672 melibatkan 695 warganegara tempatan dan 597 warganegara asing.