fb fb fb fb fb

Israel tembak mati wartawan Ibrahim Muharab di Gaza

Ibrahim Muharab, 26, yang ditembak Israel di selatan Gaza pada Ahad lepas/AFP

GAZA, 20 Ogos- Seorang wartawan terbunuh oleh tembakan zionis Israel di selatan Gaza baru-baru ini, lapor Kementerian Kesihatan wilayah itu semalam.

"Jenazah Ibrahim Muharab dibawa ke Hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis Isnin (semalam)," kata kementerian itu.

Agensi media Palestinian Daily News yang merupakan tempat Ibrahim bertugas melaporkan mangsa dibunuh dalam serangan yang menyasarkan dia dan sekumpulan wartawan lain pada Ahad lepas.

Jenazah Ibrahim, 26, ditemukan sehari kemudian di Kota Hamad dekat kawasan runtuhan bangunan.

Dua lagi wartawan turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Nasser di Khan Yunis untuk rawatan lanjut.

Video di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan berperisai Israel mara ke arah kejiranan Kota Hamad ketika peluru dilepaskan.

Sekurang-kurangnya seorang lelaki memakai jaket "Press" (media) dilihat melarikan diri daripada tembakan sebelum kedengaran suara berkata "Ibrahim cedera, di mana dia?"

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan kira-kira 113 wartawan dan pekerja media telah terbunuh sejak permulaan perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober tahun lepas.

"Ini merupakan tempoh paling dahsyat bagi wartawan sejak CPJ mula mengumpul data pada 1992," lapor pihak itu.

SITI AISHAH MD ISA