KOLKATA, 20 Ogos- Tunjuk perasaan berhubung kes rogol dan bunuh seorang doktor muda dalam sebuah bilik hospital kerajaan di sini, India, yang mengemparkan seluruh negara itu kian merebak melibatkan golongan peguam.
Mereka berpakaian hitam dan putih turun ke jalanan menyatakan sokongan kepada doktor yang terlebih dahulu melakukan tunjuk perasaan menuntut keadilan atas kematian rakan sekerja mereka, minggu lalu.
Ia kemudian menular dalam kalangan doktor di hospital kerajaan beberapa negeri yang enggan memberi perkhidmatan bagi kes bukan kecemasan sebagai tanda protes.
Jumaat lepas, mayat wanita berusia 31 tahun ditemukan dengan pelbagai kecederaan di sebuah hospital kerajaan di sini Benggala Barat, yang mana mangsa adalah seorang doktor pemastautin.
Mayat ditemukan di dewan seminar selepas mangsa dipercayai ke bilik tersebut untuk berehat semasa syif selama 36 jam.
Seorang suspek lelaki yang bekerja di hospital sama juga ditahan polis dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kolkata hari ini.
Keganasan seksual terhadap wanita adalah masalah meluas di India - purata hampir 90 kes rogol sehari dilaporkan pada 2022 di negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu. -AFP
BERITA BERKAITAN