fb fb fb fb fb

Suspek rogol, bunuh doktor pelatih di Kolkata dibicarakan hari ini

Doktor dan pekerja perubatan melakukan tunjuk perasaan menuntut keadilan dan keselamatan tempat kerja yang lebih baik/AFP (Mangsa Moumita Debnath)

KOLKATA, 20 Ogos- Mahkamah Tinggi Kolkata hari ini akan memulakan perbicaraan ke atas suspek rogol dan bunuh seorang doktor muda dalam bilik hospital di sini, India, minggu lalu.

Proses perbicaraan di mahkamah berkenaan turut diawasi oleh Mahkamah Agung India. Sebelum ini seorang lelaki yang bekerja di hospital sama telah ditahan polis.

Mogok dalam kalangan doktor di hospital kerajaan beberapa negeri juga masih diteruskan apabila mereka enggan merawat kes bukan kecemasan, malah semakin merebak ke kumpulan lain termasuk peguam, pelajar dan rakyat biasa.

Golongan doktor menuntut keadilan dan keselamatan tempat kerja yang lebih baik.

"Kami bersama doktor. Kami mahukan keadilan," laungan penyokong serentak ketika polis berusaha meleraikan perhimpunan berkenaan.

Jumaat lepas, mayat wanita berusia 31 tahun ditemukan dengan pelbagai kecederaan di sebuah hospital kerajaan di sini Benggala Barat, yang mana mangsa adalah seorang doktor pemastautin.

Mayat ditemukan di dewan seminar selepas mangsa dipercayai ke bilik tersebut untuk berehat semasa syif selama 36 jam.

Keganasan seksual terhadap wanita adalah masalah meluas di India - purata hampir 90 kes rogol sehari dilaporkan pada 2022 di negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.

Semalam, media India melaporkan lima suspek telah ditangkap dalam kes merogol seorang kanak-kanak di stesen bas di utara negeri Uttarakhand. -AFP

SITI AISHAH MD ISA