PUEBLA, 5 November - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah hospital di Mexico dan membunuh seorang pesakit yang sedang menerima rawatan akibat kecederaan tembakan.
Menurut sekretariat keselamatan awam negeri Puebla, serangan itu turut mengorbankan dua pegawai polis yang cuba menghalang penyerang daripada melarikan diri.
Penyerang melepaskan lebih 10 das tembakan terhadap lelaki tersebut di bandar Atlixco.
Setiausaha Keselamatan Puebla, Daniel Ivan Cruz memaklumkan bahawa mangsa telah datang sendiri ke hospital pada pagi Ahad akibat kecederaan tembakan yang dialaminya dalam satu perhimpunan.
“Selepas menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi kejadian, polis ditembak dan mati di tempat kejadian,” katanya lagi.
Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan penglibatan mangsa, yang berusia sekitar 30 tahun, sama ada terlibat dalam aktiviti haram.
Atlixco merupakan destinasi pelancongan popular, kini menerima ribuan pelawat setiap tahun untuk perayaan Hari Orang Mati.
Sejak 2006, lebih 450,000 orang terbunuh akibat keganasan yang semakin meningkat di Mexico, kebanyakannya berkait dengan pengedaran dadah dan kumpulan penjenayah.
Semalam, penyerang bersenjata turut membunuh lima ahli keluarga di sebuah rumah di pinggir Acapulco — destinasi yang pernah terkenal sebagai pusat percutian mewah tetapi kini tercemar dengan jenayah ganas.
Dua lagi mangsa turut cedera dalam serangan di negeri Guerrero, kawasan yang sering menyaksikan konflik berdarah antara kartel dadah dalam perebutan kuasa. - AFP