DUBAI, 29 Julai – Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mencatatkan rekod baharu 46 juta penumpang pada separuh pertama 2025, meskipun berdepan gangguan penerbangan susulan perang singkat antara Iran dan Israel, menurut kenyataan pihak pengendali, DXB pada Selasa.
Jumlah itu mewakili peningkatan 2.3 peratus berbanding tahun lalu, menjadikannya enam bulan paling sibuk dalam sejarah pengendalian lapangan terbang tersebut, kata DXB.
“Walaupun terdapat gangguan ruang udara serantau pada Mei dan Jun, prestasi kekal kukuh,” menurut kenyataan itu lagi.
Ketika konflik antara Iran dan Israel tercetus, beberapa negara menutup ruang udara masing-masing, menyebabkan banyak penerbangan ke destinasi Asia Barat dibatalkan.
Purata trafik bulanan dari Januari hingga Jun 2025 mencecah 7.7 juta penumpang, atau kira-kira 254,000 penumpang sehari.
Bulan Januari merupakan yang paling sibuk, dengan 8.5 juta penumpang, sekali gus mencipta rekod baharu bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports, Paul Griffiths berkata, berdasarkan trend semasa dan unjuran positif, jumlah keseluruhan tahun ini dijangka mencapai 96 juta penumpang, semakin menghampiri angka simbolik 100 juta.
Tahun lalu, Dubai mencatat rekod tahunan tertinggi dengan 92.3 juta penumpang.
Dubai terus mengekalkan kedudukannya sebagai hab udara antarabangsa paling sibuk di dunia selama sedekad, dengan India, Arab Saudi dan United Kingdom sebagai tiga negara utama untuk trafik masuk dan keluar.
Bagi menampung pertumbuhan jangka panjang, bandar raya itu merancang pemindahan dan pengembangan besar-besaran ke Lapangan Terbang Al Maktoum menjelang tahun 2032, dengan kos dianggarkan AS$35 bilion (RM165 bilion).
Lapangan terbang baharu itu akan dibina secara berperingkat dan disasarkan memiliki kapasiti mencecah 240 juta penumpang setahun, menjadikannya yang terbesar di dunia apabila siap kelak. - AFP