NEW DELHI, 29 April- Ketegangan antara India dan Pakistan terus memuncak apabila kedua-dua negara melaporkan tembakan balas-membalas di wilayah bergolak Kashmir untuk malam kelima berturut-turut, menurut kenyataan tentera India pada Selasa.
Tembakan itu berlaku di sepanjang Line of Control (LoC), sempadan de facto yang memisahkan wilayah Kashmir yang dituntut kedua-dua negara, di kawasan pergunungan Himalaya yang dipertikaikan.
Pakistan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian terbaharu ini.
Hubungan diplomatik antara dua kuasa nuklear itu merosot dengan teruk sejak serangan berdarah pada 22 April lalu yang menyasarkan pelancong di Kashmir yang dikawal India insiden paling dahsyat dalam beberapa tahun, mengorbankan 26 nyawa.
India menuduh Pakistan sebagai dalang di sebalik serangan tersebut, namun Islamabad menafikan penglibatan. Sejak itu, kedua-dua negara bertukar tembakan, mengusir rakyat masing-masing, dan menutup sempadan.
Menurut tentera India, pada malam Isnin hingga Selasa, tentera Pakistan melepaskan tembakan senjata ringan secara “tidak berprovokasi” ke arah kawasan di daerah Kupwara, Baramulla dan sektor Akhnoor.
“Pasukan kami memberi respons secara berhemah dan berkesan terhadap provokasi tersebut,” kata jurucakap tentera India, sambil menambah bahawa tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
India turut menetapkan Selasa sebagai tarikh akhir untuk semua warga Pakistan meninggalkan negara itu.
Kawasan majoriti Muslim, Kashmir telah berpecah antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan kedua-duanya daripada British pada 1947, namun kedua-dua negara tetap menuntut wilayah itu sepenuhnya.
Pemberontakan bersenjata oleh kumpulan pemisah di Kashmir yang dikawal India telah berlarutan sejak 1989, dengan sebahagiannya menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan.
Polis India telah mengeluarkan poster orang dikehendaki memburu tiga suspek, dua warga Pakistan dan seorang rakyat India yang dikaitkan dengan kumpulan militan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, yang turut disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh PBB.
Pihak berkuasa turut menawarkan ganjaran dua juta rupee (RM117,000) bagi setiap maklumat yang membawa kepada penahanan suspek, selain melakukan tangkapan besar-besaran ke atas individu yang dipercayai ada kaitan dengan serangan.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu menyeru kedua-dua negara agar menunjukkan tahap kawalan maksimum. China dan Iran pula menggesa bertenang dan menawarkan untuk menjadi perantara, manakala Arab Saudi dilaporkan sedang berusaha meredakan ketegangan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam kenyataannya Jumaat lalu, meremehkan konflik itu sambil berkata isu berkenaan akan diselesaikan dengan cara lain.-AFP