fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar dua peluru berpandu balistik, keempat dalam seminggu

(Foto Fail/AFP)

SEOUL, 1 Oktober- Dua peluru berpandu balistik dilancarkan Korea Utara hari ini menjadikan keseluruhan empat pelancaran bagi minggu ini oleh negara bersenjata nuklear.

Ujian itu dilakukan ketika Seoul, Tokyo dan Washington meningkatkan latihan ketenteraan bersama untuk menentang tindakan agresif Pyongyang.

Tentera Korea Selatan mengesan dua peluru berpandu jarak dekat antara pukul 6.45 pagi dan 7.03 pagi yang dilancarkan dari Sunan di Pyongyang ke Laut Timur', merujuk pada kawasan perairan yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.

"Peluru berpandu berkenaan bergerak kira-kira 350 kilometer (km) pada ketinggian 30km dengan kelajuan Mach 6 dan ia disifatkan sebagai satu provokasi yang serius," kata Ketua Turus Bersama Seoul dalam satu kenyataan.


(FOTO AFP)

Tokyo turut mengesahkan pelancaran itu dan memaklumkan ia mendarat di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.

Naib Menteri Pertahanan Jepun, Toshiro Ino, berkata peluru berpandu berkenaan 'dilihat bergerak dalam trajektori di luar kebiasaan'.

Pakar berkata trajektori di luar kebiasaan itu menunjukkan peluru berpandu mampu bergerak dalam penerbangan, menjadikannya lebih sukar untuk dijejaki dan dipintas.

Pusat Pemerintah Indo-Pasifik AS, dalam satu kenyataan, menyifatkan pelancaran itu menunjukkan kesan ketidakstabilan senjata pemusnah dan program peluru berpandu haram Korea Utara.-AFP

Media Baharu