fb fb fb fb fb

Jordan kekal teguh menentang pemindahan rakyat Palestin

Foto AFP

WASHINGTON, 12 Februari– Pemimpin Jordan, Raja Abdullah II mengulangi pendirian tegas negaranya menentang pemindahan rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Raja Abdullah ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House pada Selasa mengatakan bahawa Jordan kekal teguh dalam menolak sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin, selaras dengan pendirian bersama dunia Arab.

"Membina semula Gaza tanpa memindahkan rakyatnya dan menangani situasi kemanusiaan yang kritikal harus menjadi keutamaan bagi semua," titah Raja Abdullah.

Baginda juga menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan di Tebing Barat bagi mengelakkan kemerosotan lebih teruk.

Keganasan berterusan itu boleh memberi kesan yang serius kepada seluruh rantau itu.

Raja Abdullah mengulangi bahawa keamanan yang adil berdasarkan penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan yang boleh membawa kestabilan kepada rantau berkenaan.

"Kami akan terus memainkan peranan aktif bersama rakan-rakan kami untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh untuk semua," tegas baginda.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM