fb fb fb fb fb

Israel umum operasi ketenteraan di barat daya Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 8 Oktober-Tentera Israel mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah memulakan operasi darat di barat daya Lubnan, sekali gus memperluas serangan ke zon baharu, setahun selepas berbalas serangan dengan kumpulan Hezbollah di sempadan Israel-Lubnan.

Pengumuman tersebut berlaku ketika PBB berusaha untuk penyelesaian diplomatik.

Ketegangan Asia Barat yang setahun lalu di Gaza telah berkembang menjadi konflik terburuk yang telah mengheret beberapa pihak seperti Lubnan dan Iran.

Iran memberi amaran kepada Israel pada Selasa supaya tidak melakukan sebarang serangan ke atas negara itu, seminggu selepas Tehran melancarkan peluru berpandu ke atas Israel.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata negara itu akan membalas kembali sebarang serangan yang menyasarkan infrastrukturnya.

Sementara itu, di Lubnan, tentera Israel meningkatkan tekanan ke atas Hezbollah yang disokong Iran, dengan menyatakan bahawa ia sedang menjalankan "operasi terhad, setempat, dan bersasar" di barat daya Lubnan.

Tentera Israel menyerang pinggir bandar selatan Beirut pada waktu malam dan berkata ia telah membunuh seorang pegawai kanan Hezbollah yang bertanggungjawab ke atas kewangan dan logistik kumpulan tersebut.

Sekiranya pembunuhan tersebut disahkan, kematian Suhail Hussein Husseini akan menjadi sebahagian daripada siri pembunuhan pemimpin dan komander Hezbollah serta sekutunya Hamas, yang telah berperang dengan Israel di Gaza selama setahun.

Ia merupakan tamparan terbesar kepada pihak Hezbollah selepas pembunuhan pemimpin utama pemimpin mereka, Hassan Nasrallah, dalam serangan udara di pinggir bandar Beirut akhir bulan lalu.

Serangan berkenaan telah menimbulkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, dan Iran akan terjerumus ke dalam perang di Asia Barat.

Israel kini sedang menimbang pilihan untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Tehran minggu lalu, yang dilakukan sebagai tindak balas kepada tindakan ketenteraan Israel di Lubnan.

Laman berita Amerika Syarikat, Axios, memetik pegawai Israel yang berkata bahawa kemudahan minyak Iran mungkin akan menjadi sasaran serangan.

Sekiranya serangan benar-benar berlaku, ia akan akan mengakibatkan harga minyak global melonjak.

Serangan udara Israel telah menyebabkan kira-kira 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal di Lubnan.

Kempen pengeboman Israel yang semakin mengganas telah menimbulkan kebimbangan ramai rakyat Lubnan bahawa negara mereka akan menerima nasib sama seperti yang berlaku di Gaza.

Kira-kira 2,000 rakyat Lubnan telah terbunuh sejak konflik Hezbollah-Israel bermula setahun lalu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD