fb fb fb fb fb

Iran beri amaran serang balas Israel jika diserang

Foto Reuters

TEHRAN, 17 Oktober - Ketua Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami memberi amaran bahawa Iran akan bertindak balas terhadap Israel jika negara itu menyerang sasaran Iran.

“Jika anda melakukan kesilapan dan menyerang sasaran kami, sama ada di rantau Asia Barat atau di Iran, kami akan menyerang anda kembali dengan cara yang menyakitkan,” kata Salami semasa upacara pengebumian seorang jeneral Pengawal yang terbunuh dalam serangan Israel bulan lepas.

Abbas Nilforoushan, seorang komander kanan dalam Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam, terbunuh pada 27 September bersama Hassan Nasrallah, ketua Hezbollah Lebanon, dalam serangan Israel di selatan Beirut.

Dalam ucapannya, Salami turut mengkritik sistem pertahanan peluru berpandu THAAD yang disifatkan beliau sebagai "tidak boleh dipercayai". Sistem tersebut tiba di Israel bersama kira-kira 100 tentera Amerika pada Selasa, menurut Pentagon.

“Jangan percaya sistem ini. Anda tidak boleh membunuh umat Islam dan terus berasa selamat,” kata Salami.

“Kami tahu kelemahan anda. Anda juga mengetahuinya,” tambahnya, merujuk kepada Israel.

Ucapan Salami dibuat ketika Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, meningkatkan usaha diplomatik bagi mengekang konflik di Gaza dan Lebanon daripada merebak ke seluruh Asia Barat.

Sejak hampir dua minggu lalu, Araghchi telah melawat beberapa negara termasuk Lebanon, Syria, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Oman dan Jordan.

Beliau kini berada di Mesir dan dijadualkan menuju ke Turki selepas itu.

Iran sebelum ini menyatakan bahawa serangan peluru berpandunya pada 1 Oktober adalah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Nilforoushan, Nasrallah, dan ketua politik pergerakan Hamas Palestin.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN