KAHERAH, 13 Ogos- Hamas berpegang kepada tuntutannya supaya rundingan Gaza menumpukan pada perjanjian yang telah dibincangkan dengan Israel dan pengantara berbanding memulakan semula rundingan.
Amerika Syarikat pada Isnin berkata, rundingan damai dijadualkan pada Khamis akan diteruskan seperti yang dirancang, dan perjanjian gencatan senjata masih boleh dilakukan.
Axios pula melaporkan bahawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken akan ke Qatar, Mesir dan Israel untuk melakukan perbincangan.
Bagaimanapun Hamas, meminta rancangan yang boleh dilaksanakan itu diterima dan dilaksanakan berbanding melakukan lebih banyak perbincangan.
Seorang pegawai Hamas turut memaklumkan kepada Reuters berkenaan laporan CNN mengatakan kumpulan itu merancang untuk hadir pada Khamis adalah salah.
"Kenyataan kami jelas, apa yang diperlukan adalah pelaksanaan, bukan rundingan lagi," kata pegawai yang enggan dikenali itu.
Sementara itu, serangan udara Israel pada Selasa membunuh 19 rakyat Palestin di tengah dan selatan Gaza, kata pegawai perubatan.
Enam orang terbunuh di Deir Al-Balah, termasuk seorang ibu dan bayi kembarnya berusia empat hari, manakala tujuh lagi rakyat di kem Al-Bureij.
Manakala empat orang terbunuh dalam dua serangan berasingan di kem Al-Maghazi di tengah Gaza dan Rafah serta dua lagi terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di kejiranan Sheikh Radwan, tambah pakar perubatan.
Dalam tempoh 10 bulan , hampir 40,000 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk ramai komander dan pejuang.
Sementara itu tentera Israel turut membunuh lelaki bersenjata Palestin dan memusnahkan struktur tentera di Khan Younis.
Perjanjian gencatan senjata bertujuan untuk menamatkan pertempuran di Gaza namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mahu menghapuskan Hamas keseluruhannya.
Ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di Deir Al-Balah.
"Cukup, kami tidak lagi mampu bertolak ansur dengan peperangan, kelaparan dan pemindahan yang kerap," kata Ghada, ibu kepada enam anak yang dua hari lalu terpaksa meninggalkan khemahnya di Khan Younis di bawah arahan pemindahan baharu Israel.
"Saya harap kali ini mereka akan mencapai gencatan senjata. Jika tidak, saya tidak tahu berapa lama lagi kita boleh bertahan," katanya kepada Reuters melalui aplikasi media sosial.- REUTERS