PEKI, 7 Disember- Ghana mengadakan pilihan raya presiden pada Sabtu dengan rakyat berharap pemimpin baharu dapat membawa negara Afrika Barat itu keluar daripada krisis ekonomi.
Undi golongan muda dilihat sebagai kunci penting dalam persaingan antara calon daripada parti New Patriotic Party (NPP) dan National Democratic Congress (NDC) yang secara aman bergilir memegang kuasa sejak 1992, lapor agensi berita Jerman dpa.
Daripada 18.7 juta pengundi berdaftar, lebih 10.3 juta orang berumur antara 18 hingga 35 tahun.
Tinjauan pendapat meramalkan kedua-dua kem politik utama itu akan memperoleh kira-kira 40-50 peratus undi, namun pemenang masih belum dapat dijangka.
Sepuluh calon lain yang turut bertanding dijangka tidak memberi tentangan hebat.
Ghana kini merekodkan kadar pengangguran melebihi 14 peratus, kos sara hidup yang melonjak, serta isu berkaitan infrastruktur yang lemah, rasuah, mata wang yang susut nilai, dan pencemaran alam sekitar yang serius.
Ekonomi Ghana bergantung kepada eksport koko, emas dan minyak, namun kebergantungan itu menjadikan negara terdedah kepada turun naik harga pasaran dunia termasuk keperluan mengimport makanan seperti gandum.
Naib Presiden, Mahamudu Bawumia bertanding mewakili NPP.
Bawumia, 61, mengemukakan reputasinya sebagai pakar ekonomi dan berjanji untuk "menaik taraf" ekonomi dengan memberi tumpuan kepada digitalisasi.
Pencabarnya, John Dramani Mahama, 66, daripada NDC dan bekas presiden dari 2012 hingga awal 2017 berjanji untuk membawa pembaharuan melalui program sokongan kepada usahawan muda serta petani. -BERNAMA-dpa