PARIS, 19 Januari- Selepas kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan terburuk dalam sejarah Israel pada 7 Oktober 2023, Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza.
Sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari, serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 46,899 orang terbunuh dalam tempoh 15 bulan konflik Israel-Hamas, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Gaza.
Berikut adalah detik-detik penting dalam konflik ini:
Bermulanya konflik berterusan Israel-Hamas
Pada 7 Oktober, ratusan pejuang Hamas menyusup masuk ke Israel serta menyerang tentera rejim itu di pangkalan. Seramai 251 orang dijadikan tebusan dan dibawa ke Gaza. Kini, 94 orang masih ditahan termasuk tiga wanita dijadualkan dibebaskan pada Ahad. Tentera Israel mengatakan bahawa 34 daripada 94 tebusan telah meninggal dunia. Serangan Hamas menyebabkan lebih 1,200 orang terbunuh.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikirar untuk membalas dendam menghancurkan Hamas. Israel mula mengebom dan mengepung Gaza. Pada 13 Oktober, Israel mengarahkan orang awam di utara wilayah itu untuk berpindah ke selatan. Pada 27 Oktober, Israel melancarkan serangan darat terhadap Gaza.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dalam konflik itu.
Gencatan senjata dan pertukaran tahanan
Pada 24 November, gencatan senjata selama seminggu antara Israel dan Hamas bermula. Hamas membebaskan 105 tebusan, kebanyakannya rakyat Israel, namun terdapat warga Thailand, sebagai balasan untuk 240 tahanan Palestin di penjara Israel.
Apabila perang diteruskan, Israel memperluas serangannya ke selatan Gaza.
Tragedi tragis, serbuan makanan
Pada 29 Februari 2024, tentera Israel menembak penduduk utara Gaza yang menyerbu konvoi trak bantuan makanan, menyebabkan 120 orang terbunuh dan ratusan cedera.
Dari awal Mac, pesawat tentera dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat mula memberikan bantuan dari udara di Gaza.
Pada 1 April, tujuh pekerja bantuan dari badan amal Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen, terbunuh dalam serangan yang disebut tentera Israel sebagai 'kesilapan tragis'.
Iran serang Israel
Pada 13 April, Iran melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Israel. Ia merupakan serangan Iran terhadap Israel. Serangan itu sebagai balasan terhadap serangan maut pada 1 April ke atas konsulatnya di Damsyik, yang dilakukan oleh Israel.
Pada 20 Julai, Israel menyerang pelabuhan Hodeida di Yaman, selepas serangan dron ke atas Tel Aviv oleh kumpulan Huthi yang disokong Iran.
Pemimpin politik Hamas terbunuh
Di sempadan Israel-Lubnan, pertempuran hampir setiap hari sejak Oktober 2023 antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan, memuncak pada Julai. Israel bertindak balas dengan beberapa siri serangan, termasuk membunuh seorang komander kanan Hizbullah, Fuad Shukr.
Pada 31 Julai, pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh semasa dalam lawatan ke Iran. Israel mengaku bertanggungjawab beberapa bulan kemudian.
Konflik Israel-Hizbullah di Lubnan
Pada 17 dan 18 September, ratusan alat komunikasi milik Hizbullah meletup dalam operasi Israel yang menurut pihak berkuasa Lubnan, membunuh 39 orang dan mencederakan ribuan orang.
Israel meningkatkan serangan udaranya di Lubnan dan pada 27 September membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, di selatan Beirut. Beberapa hari kemudian, Israel melancarkan serangan darat di selatan Lubnan terhadap kubu kuat Hizbullah.
Pada 1 Oktober, Iran melancarkan 200 peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Nasrallah dan Haniyeh.
Pemimpin baharu Hamas terbunuh
Pada 16 Oktober, pemimpin baharu Hamas, Yahya Sinwar, yang didakwa oleh Israel sebagai dalang serangan pada 7 Oktober 2023, terbunuh di selatan Gaza.
Pada 26 Oktober, serangan udara Israel menyerang sasaran tentera di Iran sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu pada 1 Oktober.
Pada 14 November, sebuah Jawatankuasa Khas PBB mengatakan bahawa tindakan perang Israel di Gaza mempunyai ciri-ciri 'genosid'. Israel menuduh PBB berat sebelah.
Pada 21 November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant dan Ketua Tentera Hamas, Mohammed Deif, yang menurut tentera Israel telah dibunuh di Gaza.
Gencatan senjata di Lubnan
Gencatan senjata bermula pada 27 November selepas dua bulan peperangan antara Israel dan Hizbullah yang menyebabkan lebih 4,000 orang terbunuh di pihak Lubnan sejak Oktober 2023, menurut angka rasmi Lubnan.
Gencatan senjata ini telah beberapa kali dicabuli dengan kedua-dua pihak saling menunding jari.
Setelah penyingkiran Presiden Syria Bashar al-Assad oleh kumpulan penentang kerajaan pada Disember lalu, Israel juga melancarkan ratusan serangan ke atas kawasan tentera Syria dan mengatakan ia bertujuan menghalang senjata jatuh ke tangan 'ekstremis'.
Israel turut menghantar tentera ke Bukit Golan. Manakala, kumpulan Huthi di Yaman meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron ke Israel.
Gencatan senjata baharu bermula
Pada 19 Januari 2025, gencatan senjata yang ditunggu-tunggu antara Israel dan Hamas bermula, dengan 33 tebusan dijangka dibebaskan semasa fasa pertama sebagai pertukaran untuk pembebasan kira-kira 1,900 rakyat Palestin dalam tahanan Israel.
Di bawah gencatan senjata yang diselaraskan oleh Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir, ribuan rakyat Palestin mula kembali ke rumah di tengah-tengah kemusnahan Gaza.-AFP