fb fb fb fb fb

Gempa 5.7 magnitud gegar Banyuwangi, rakyat Malaysia dilapor selamat

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 September -Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud dilaporkan melanda timur laut Banyuwangi, Jawa Timur, petang semalam (Khamis). Namun tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada pukul 4.04 petang waktu tempatan pada kedalaman 12 kilometer, kira-kira 46 kilometer dari timur laut Banyuwangi.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia memaklumkan gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan berhampiran termasuk Surabaya, Lumajang, Kuta dan Denpasar, tetapi tiada potensi tsunami.

“Sehingga pukul 9.00 malam WIB 25 September 2025, tiada sebarang laporan insiden melibatkan warganegara Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar menghubungi pihak berkuasa.

“Kedutaan Besar Malaysia turut menghubungi warganegara Malaysia yang berdaftar dan melaporkan keberadaan sama ada berkunjung, bermastautin mahupun belajar di Banyuwangi, Surabaya dan beberapa daerah berhampiran.

"Kedutaan akan terus memantau perkembangan situasi dari masa ke masa,” menurut kenyataan berkenaan.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036 atau Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +62361751953.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD