fb fb fb fb fb

Datuk Bandar Los Angeles dikritik berhubung respons terhadap kebakaran besar

Gabenor California Gavin Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass (Kiri) melawat pusat perniagaan di Pacific Palisades semasa kebakaran Palisades/Foto AFP

LOS ANGELES, 13 Januari - Ketika ribuan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang marak di Daerah Los Angeles, tekanan politik terhadap Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass semakin meningkat.

Sehingga Ahad, lebih 110,000 tandatangan telah dikumpulkan menerusi petisyen di Change.org yang menuntut peletakan jawatannya, lapor Xinhua.

Dimulakan oleh seorang pengguna dikenali sebagai "Frustrated Californian", petisyen itu menuduh Bass menjalankan "pengurusan yang teruk" serta kurang menunjukkan kepimpinan semasa krisis ini.

Petisyen berkenaan turut mempersoalkan keberadaannya di Ghana bagi lawatan diplomatik pada 7 Januari, ketika kebakaran mula berlaku. Persiapan dan agihan sumber bandar raya itu, termasuk kekurangan bekalan air dan pembiayaan tidak mencukupi, turut dikecam.

Ketua Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) Kristin Crowley mengkritik pemotongan belanjawan  sebanyak US$17 juta dalam wawancara dengan CNN pada Jumaat, sambil menyatakan amaran mengenai kekurangan sumber dan dana telah disuarakan sejak tiga tahun lepas.

Namun, Bass menyangkal tuduhan itu dengan menyatakan bahawa di bawah pentadbirannya, belanjawan jabatan bomba sebenarnya meningkat sebanyak tujuh peratus secara keseluruhan.

Pegawai Pentadbiran Bandar Raya Matt Szabo menyokong kenyataan Bass dengan menegaskan bahawa sumber kecemasan kekal dibiayai sepenuhnya walaupun terdapat pemotongan dalam bidang lain.

Akhbar Los Angeles Times pada Ahad melaporkan bahawa kritikan terhadap Datuk Bandar Demokrat itu tidak begitu adil memandangkan belanjawan perbandaran itu tertekan dengan pelbagai tuntutan termasuk kesihatan awam, perkhidmatan sosial, krisis perumahan, kemarau, gempa bumi, dan kebakaran liar dan banyak lagi terhadap sumber yang sedikit.

Bass sebelum ini mencadangkan pengurangan bajet LAFD sebanyak 2.7 peratus (US$23 juta) bagi tahun fiskal 2024-2025, terutamanya dengan mengehadkan pembelian peralatan baharu.

Bagaimanapun, beliau dan Majlis Bandar Raya kemudian meluluskan kenaikan gaji anggota bomba sebanyak US$53 juta serta tambahan US$58 juta untuk pembelian trak bomba dan peralatan baharu, menjadikan peningkatan keseluruhan belanjawan LAFD melebihi tujuh peratus.

Walaupun bajet keseluruhan meningkat, beberapa bidang dalam jabatan itu mengalami pengurangan, termasuk pemotongan  US$7 juta bagi bayaran kerja lebih masa, yang menjejaskan latihan radio, latihan juruterbang, dan pemeriksaan pembersihan belukar yang penting untuk mengurangkan risiko kebakaran.

Bagaimanapun, kenaikan kos termasuk bayaran kerja lebih masa dan sumbangan pencen telah memberikan tekanan kewangan bandar raya itu. Pengkritik bimbang biarpun  kenaikan gaji pekerja penting, ia boleh mengakibatkan  lagi kekurangan dalam operasi.

Kumpulan pemerhati dan wakil jabatan bomba memberi amaran terhadap tekanan terhadap belanjawan, terutamanya kecemasan memerlukan sumber tambahan.

Kebakaran besar yang sedang berlaku, termasuk kebakaran Pacific Palisades dan Eaton, terus mendedahkan tahap kesediaan bandar raya itu dalam menghadapi kecemasan.

Kebakaran yang begitu marak dan tidak pernah berlaku sebelum ini mendedahkan kelemahan dalam infrastruktur air Los Angeles. Usaha pemadaman kebakaran terjejas akibat tekanan air rendah dan pili bomba kering yang berpunca daripada keperluan luar biasa menggunakan terlalu banyak pili bomba secara serentak.

Bekas Pengurus Jabatan Air dan Tenaga Los Angeles (DWP) Martin Adams menegaskan bahawa sistem air tempatan tidak direka untuk menyokong operasi memadam kebakaran berskala besar seperti ini, dan membangkitkan persoalan apakah bentuk pelaburan akan datang yang diperlukan dalam infrastruktur air.

Memandangkan Bass yang berusia 71 tahun memegang jawatannya selama dua tahun, pengkritik juga menyalahkan pentadbiran sebelum ini di atas pelaburan ke atas infrastruktur air dan pemadaman api selama berdekad  yang tidak mencukupi dan kerana gagal menyesuaikan sistem dengan risiko cuaca yang meningkat.

Pakar menyarankan peningkatan sistem penyimpanan air dan zon tekanan air di kawasan berbukit  untuk mengurangkan risiko kebakaran liar pada masa depan, namun pelaburan ini memerlukan peruntukan kewangan yang besar. - BERNAMA-XINHUA

 

GRACE AISYAH KEDAYAN