fb fb fb fb fb

China sokong keanggotaan 'penuh' PBB bagi negara Palestin

Menteri Luar China, Wang Yi / AFP

BEIJING, 7 Mac- Diplomat tertinggi China hari ini memaklumkan Beijing menyokong 'penuh' keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi negara Palestin.

"Kami menyokong Palestin menjadi anggota rasmi PBB.

"Malapetaka di Gaza sekali lagi mengingatkan dunia akan hakikat wilayah Palestin yang sudah diduduki sejak sekian lama tidak boleh diabaikan lagi," kata Menteri Luar, Wang Yi pada sidang akhbar.

Katanya, cita-cita dan harapan rakyat Palestin yang menubuhkan negara merdeka tidak boleh dinantikan lebih lama lagi.

"Rakyat Palestin sudah lama berhasrat dan bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara merdeka.

"Ia tidak boleh diabaikan lagi dan ketidakadilan sejarah yang dialami oleh rakyat Palestin tidak boleh berterusan selama beberapa generasi tanpa diperbetulkan," katanya.

Sebelum ini, Beijing menggesa gencatan senjata dilakukan dengan segera sejak permulaan perang Israel-Hamas pada Oktober tahun lalu.

China secara dasarnya bersimpati kepada perjuangan Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping menggesa diadakan 'persidangan keamanan antarabangsa' untuk menyelesaikan peperangan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI