LONDON, 18 Februari - Menteri Luar UK, David Cameron bakal mengadakan lawatan ke Kepulauan Falkland, pulau yang menyaksikan peperangan antara UK dan Argentina pada 1982.
Pada lawatan tersebut, Cameron akan menekankan komitmen London terhadap hak penduduk pulau berkenaan bagi menentukan hak berkerajaan sendiri, menurut Kementerian Luar pada Ahad.
Cameron dijangka melawat Kepulauan Atlantik Selatan pada lawatannya ke Amerika Selatan dan New York yang merupakan lawatan pertama menteri kabinet UK ke pulau berkenaan sejak Setiausaha Pertahanan, Michael Fallon melakukannya pada 2016.
Lawatan itu susulan kenyataan Presiden Argentina, Javier Milei yang dilaporkan bercadang untuk memulihkan pulau itu secara diplomatik meskipun idea berkenaan ditolak oleh Perdana Menteri UK, Rishi Sunak.
Cameron bakal bertemu penduduk pulau Falkland "dan melihat usaha dan pencapaian para penduduk untuk membina komuniti yang berkembang maju selain melindungi persekitaran semula jadi mereka," kata Pejabat Luar Negeri, namun tidak menyatakan tarih kunjungan tersebut.
"Cameron akan mengulangi komitmen UK untuk menegakkan hak bagi menentukan nasib penduduk pulau itu," tambahnya.
Sebelum ini, Argentina mendakwa akan memiliki kepulauan Atlantik Selatan, apabila ia mencapai kemerdekaan sendiri.
Namun, Britain berpandangan kerajaan tersebut telah mentadbir kepulauan berkenaan dari segi sejarah dan penduduk pulau itu mempunyai hak dan diberi peluang untuk menentukan nasib sendiri.
Cameron berkata bahawa pulau-pulau itu "adalah sebahagian daripada keluarga Britain,dan selagi mereka ingin kekal sebagai sebahagian daripada UK, isu kedaulatan tidak akan dibincangkan.
"Penduduk pulau Falkland harus berbangga dengan komuniti moden dan makmur yang telah mereka bina," tambahnya.
Pada lawatan itu juga, Cameron akan turut memberikan penghormatan kepada tentera-tentera British yang telah terkorban pada konflik tahun 1982 itu.
Peperangan itu telah meragut nyawa kira-kira 649 askar Argentina, 255 askar British dan tiga penduduk pulau tersebut.-AFP