761 Pelajar cemerlang e-Kasih Kelantan terima komputer riba, bantuan ke IPT

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim / BERNAMA

KOTA BHARU, 23 Mei – Seramai 761 anak penerima e-Kasih di Kelantan yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, menerima sebuah komputer riba dan bantuan awal ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bernilai RM1,000 setiap seorang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Sejahtera MADANI diharap menjadi dorongan awal serta persediaan pelajar sebelum melangkah ke menara gading.
  • Program bersasar dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan berdaftar di e-Kasih.
  • Sumbangan diharap mengurangkan beban keluarga serta mempermudah urusan pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
  • Seorang penerima, Fatimah Razali, berterima kasih kepada Perdana Menteri dan menyatakan bantuan serta komputer riba penting untuk pengajian.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sumbangan di bawah inisiatif Sejahtera MADANI itu diharap dapat menjadi dorongan awal serta persediaan kepada kumpulan pelajar terbabit sebelum melangkah ke menara gading.

Beliau berkata, program bersasar dikelola Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan, khususnya yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih.

“Dengan sumbangan ini, ia diharap dapat membantu mereka mengurangkan sedikit sebanyak beban keluarga bagi mempermudah urusan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke IPT di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, yang turut dihadiri Pengarah ICU JPM Kelantan, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Sementara itu, salah seorang penerima, Fatimah Razali, 18, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan yang diberikan kepada golongan memerlukan.

Pelajar  tersebut yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, bantuan berkenaan sangat tepat pada masanya memandangkan penggunaan komputer riba amat penting bagi mahasiswa di universiti kelak.

“Perbelanjaan (tunai) itu mungkin digunakan untuk membeli barang persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Alhamdulillah, ia akan meringankan beban keluarga sebab di universiti nanti memang akan banyak menggunakan komputer riba,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.