
KUANTAN, 23 Mei -Usaha memperluas literasi kecerdasan buatan (AI) ke kawasan luar bandar dipergiat melalui pelbagai inisiatif, termasuk Jelajah AI MyMahir (JAM), bagi memastikan pembangunan teknologi yang lebih inklusif dan menyeluruh.
- Talent Corporation menggerakkan Jelajah AI MyMahir untuk menyampaikan kemahiran AI, digital dan masa depan secara praktikal serta mudah difahami oleh komuniti.
- Timbalan Menteri menekankan literasi teknologi berterusan supaya negara bergerak daripada 'Made in Malaysia' kepada 'Made by Malaysia'.
- Majlis di UMPSA menghimpunkan kira-kira 750 peserta termasuk mahasiswa, pelajar, usahawan dan komuniti setempat menunjukkan permintaan tinggi.
- Penggunaan AI mampu meningkatkan produktiviti dengan pelaburan minimum dan program akan diteruskan ke seluruh negara untuk membina tenaga kerja celik digital.
Inisiatif yang digerakkan Talent Corporation Malaysia Berhad, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, itu bertujuan untuk membawa kemahiran AI, digital dan masa depan dengan lebih dekat, praktikal serta mudah difahami oleh komuniti setempat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pendekatan memperluas literasi teknologi itu selaras dengan komitmen kerajaan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan AI tidak hanya tertumpu di bandar besar, sebaliknya turut merangkumi kawasan luar bandar.
“Isunya adalah bagaimana kita menjadikan literasi teknologi AI ini sesuatu yang berterusan, sedangkan selepas ini sudah pasti akan muncul teknologi baharu. Oleh itu, jika kita mengambil pendekatan seperti yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, iaitu literasi teknologi, kita dapat memastikan kita bergerak daripada “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia”.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan jelajah AI MyMahir Parlimen Paya Besar di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA), di sini.
Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 750 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa, pelajar sekolah, usahawan dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap pendedahan teknologi berkenaan.
Pada masa sama, Datuk Mohd Shahar berkata, bahawa penggunaan AI tidak semestinya melibatkan kos tinggi, sebaliknya mampu memberi impak besar kepada produktiviti walaupun dengan pelaburan minimum.
Untuk rekod, Program Jelajah AI MyMahir sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi dan Sungai Buloh dan akan terus diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha membina tenaga kerja masa depan yang celik digital dan berdaya saing.