
KOTA BHARU, 23 Mei – Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap usaha memperkukuh jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
- Pengukuhan AMK berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi.
- Rekod pendaftaran menunjukkan trend positif; bilangan ahli baharu PKR terus meningkat.
- AMK menghargai jasa dan pengorbanan Rafizi serta Nik Nazmi dan mengucapkan selamat maju jaya.
- AMK komited memastikan kelangsungan perjuangan, memperkukuh persediaan jentera dan mengekalkan kekuatan sayap pemuda.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah pengukuhan itu berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh isu peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad.
Malah katanya, rekod pendaftaran parti juga menunjukkan trend positif apabila bilangan anggota baharu yang menyertai PKR terus bertambah dari semasa ke semasa.
“Kelompok orang muda hari ini boleh menilai dengan baik. Kita hari ini dalam satu zaman di mana akses kepada maklumat dan dapatan itu boleh dilakukan oleh semua orang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal ke IPT di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini, hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap sumbangan kedua-dua bekas Ahli Parlimen itu, Muhammad Kamil berkata AMK tetap komited memastikan kelangsungan perjuangan parti berjalan lancar menerusi persediaan jentera yang lebih mantap di setiap kawasan.
“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-duanya, Datuk Seri Rafizi dan Saudara Nik Nazmi.
“Kita hargai segala jasa dan sumbangan serta pengorbanan yang dicurahkan oleh kedua mereka kepada Keadilan sepanjang tempoh mereka berkhidmat bersama parti,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa isu peletakan jawatan tersebut langsung tidak memberi kesan yang signifikan kepada kekuatan sayap pemuda mahupun parti secara keseluruhan, malah AMK ketika ini dilihat masih terus kekal utuh dan kukuh.