fb fb fb fb fb

Britain zahir kebimbangan terhadap keputusan mahkamah PBB ke atas Gaza

Foto Hiasan / Fail

LONDON, 27 Januari - Kerajaan Britain pada Sabtu berkata ia mempunyai "kebimbangan yang besar" mengenai keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Israel harus melakukan segala yang boleh untuk mencegah sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague menjatuhkan penghakiman pertamanya pada Jumaat dalam kes penting yang dibawa oleh Afrika Selatan yang turut memerintahkan Israel membenarkan akses kemanusiaan ke wilayah Palestin.

"Kami menghormati peranan dan kebebasan ICJ. Walau bagaimanapun, kami mempunyai kebimbangan yang besar mengenai kes ini, yang tidak membantu dalam mencapai gencatan senjata yang mampan," kata jurucakap Pejabat Luar dalam satu kenyataan.

"Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya terhadap Hamas selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL)," tambah jurucakap itu.

“Pandangan kami ialah tindakan Israel di Gaza tidak boleh disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai, sebab itu kami berpendapat keputusan Afrika Selatan untuk membawa kes itu adalah salah dan provokatif.”

Afrika Selatan menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua dan Holocaust semasa kempen ketenteraannya di Gaza, yang dicetuskan oleh serangan 7 Oktober oleh Hamas.

Pejabat Luar Negeri bagaimanapun menambah bahawa ia mengalu-alukan gesaan ICJ untuk pembebasan segera tebusan dan mendapatkan lebih banyak bantuan ke Gaza.

"Kami jelas bahawa jeda segera adalah perlu untuk mendapatkan bantuan dan tebusan keluar dan kemudian kami mahu membina ke arah gencatan senjata yang mampan dan kekal tanpa kembali kepada pertempuran."-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN