WASHINGTON, 2 November- Amerika Syarikat mengumumkan penempatan tambahan aset ketenteraan ke Asia Barat, termasuk pemusnah pertahanan peluru berpandu balistik dan pesawat pengebom jarak jauh B-52, sebagai amaran kepada Iran ketika negara itu dan Israel bertukar serangan.
"Jika Iran, sekutu-sekutunya, atau proksinya menggunakan peluang ini untuk menyasarkan kakitangan atau kepentingan Amerika di rantau ini, Amerika Syarikat akan mengambil semua langkah perlu untuk melindungi rakyat kita," kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder, dalam satu kenyataan.
Sumber tambahan itu akan melengkapi penempatan pertahanan AS yang sedia ada di Asia Barat sebagai sokongan kepada Israel, termasuk sistem pertahanan peluru berpandu THAAD yang dihantar ke negara itu akhir bulan lepas, dikendalikan oleh tentera Amerika di lapangan.
Pasukan baru itu "akan mula tiba dalam beberapa bulan akan datang," kata Ryder.
Israel melancarkan serangan besar terhadap Iran pada 26 Oktober, memusnahkan infrastruktur ketenteraan republik Islam tersebut namun mengelak lokasi kritikal seperti tapak nuklear dan minyak.
Iran telah melakukan dua serangan besar terhadap Israel pada tahun ini, satu pada April selepas serangan terhadap konsulatnya di Damsyik yang disalahkan kepada Israel, dan satu lagi pada Oktober yang Tehran dakwa sebagai balasan terhadap pembunuhan pemimpin kumpulan bersenjata yang disokongnya di Asia Barat.
Pemerhati memberi amaran bahawa operasi ketenteraan berterusan antara pesaing serantau itu boleh mencetuskan peningkatan konflik.-AFP