RIYAHD, 11 November - Pemimpin Arab dan Muslim tiba di Arab Saudi untuk menghadiri mesyuarat tergempar Sidang Kemuncak Arab-Islam hari ini sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel yang berterusan di wilayah Palestin dan Lubnan.
Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan sidang pada akhir Oktober lalu sebagai sebahagian daripada usaha pakatan antarabangsa untuk menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.
Keutamaan utama termasuk menghentikan pencerobohan, melindungi orang awam, memberi sokongan kepada rakyat Palestin dan Lubnan.
Selain itu, sidang itu juga bagi menyatukan pendirian, dan memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah tegas bagi menghentikan serangan yang berterusan dan mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini.
Sidang ini diadakan setahun selepas perhimpunan serupa di Riyadh di mana Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk tindakan Israel di Gaza sebagai kejam.
Saluran berita Al-Ekhbariya memaparkan rakaman ketibaan Presiden Nigeria Bola Tinubu dan Perdana Menteri Lebanon Najib Mikati di Riyadh.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif juga dijadualkan hadir dan berhasrat menyeru penghentian segera pembunuhan besar-besaran di Gaza dan penghentian segera tindakan agresif Israel di rantau ini.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian tidak dapat hadir kerana hal ehwal eksekutif, tetapi Naib Presiden Pertama Mohammad Reza Aref akan menghadiri sidang tersebut bagi pihak Iran.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut serta dalam sidang mesyuarat tergempar itu.
Sidang ini melibatkan OIC yang terdiri daripada 57 negara anggota dari pelbagai rantau termasuk Asia, Afrika, Asia Barat, dan Amerika Selatan, serta Liga Arab yang mempunyai 22 negara anggota Arab.
Tujuan OIC adalah untuk menyatukan negara-negara Islam dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama umat Islam.
OIC memberi tumpuan kepada meningkatkan solidariti antara negara anggota; mempertahankan hak umat Islam di seluruh dunia; menyokong Palestin dan Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai sebahagian dari usaha penyelesaian konflik Israel-Palestin dan memastikan keadilan dan keamanan serta mencegah diskriminasi terhadap umat Islam.
Sidang tahun lalu di Riyadh menyaksikan ketidaksepakatan mengenai tindakan seperti memutuskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel. - AFP