RAMALLAH, 4 Oktober-Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di kem pelarian Tulkarm di Tebing Barat, dalam serangan udara Israel.
Menurut kementerian kesihatan Palestin serangan udara berkenaan merupakan serangan paling dahsyat yang pernah dilancarkan oleh rejim Israel terhadap Tebing Barat dalam tempoh 20 tahun.
Seorang pegawai tempatan, Faisal Salama, memberitahu AFP bahawa serangan itu dilakukan oleh pesawat pejuang F-16. Manakala seorang saksi, Alaa Sroji, seorang aktivis, berkata pesawat tersebut telah menyerang sebuah kafeteria di dalam sebuah bangunan empat tingkat.
Sroji turut berkata kesemua mangsa kini berada di hospital dan jumlah kematian dijangka meningkat.
Kumpulan pejuang Hamas mengutuk serangan udara itu dan menyifatkannya sebagai "serangan kejam" dan memberi amaran bahawa ia mampu menjadikan konflik bertambah buruk.
Manakala, kumpulan Fatah, sebuah pergerakan Palestin yang menjadi pesaing Hamas di Tebing Barat, menyeru supaya diadakan demonstrasi selepas solat Jumaat untuk menghormati mangsa yang terkorban di Tulkarm.
Kem pelarian Tulkarm telah menjadi sasaran dalam operasi besar-besaran tentera Israel pada penghujung bulan Ogos.
Ketegangan di Tebing Barat meningkat seiring perang yang sedang berlaku di Gaza.-AFP
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, berkata operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat kini berlaku dalam skala yang tidak pernah dilihat dalam dua dekad kebelakangan ini.
Sementara itu, tentera Israel menyatakan serangan udara tersebut telah membunuh seorang pemimpin kanan Hamas iaitu Zahi Yaser Abd al-Razeq Oufi.
Pihak Israel mendakwa Oufi merancang beberapa serangan di Tebing Barat dan sedang merancang serangan lain di wilayah tersebut.-AFP