(Jet pejuang China telah melintasi garis tengah Selat Taiwan/ AFP)
TAIPEI. 1 April- Sepuluh pesawat China melintasi garisan median Selat Taiwan, sempadan tidak rasmi antara kedua-dua pihak, menurut Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini ketika Beijing meneruskan aktiviti ketenteraan berhampiran pulau itu.
Sembilan jet pejuang China dan satu dron tentera melintasi garis tengah dalam tempoh 24 jam hingga 6 pagi pada Sabtu (2000 GMT pada Jumaat), kata kementerian itu dalam laporan hariannya mengenai aktiviti ketenteraan China.
Taiwan menghantar pesawat untuk memberi amaran kepada China, manakala sistem peluru berpandu memantau mereka, kata kementerian itu.
Taiwan yang didakwa China sebagai wilayahnya sendiri walaupun mendapat bantahan, telah mengadu dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai misi hampir setiap hari oleh tentera udara China berhampiran pulau yang ditadbir secara demokrasi, kebiasaannya di bahagian barat daya zon pengenalan pertahanan udaranya.
Beijing mengancam tindakan balas yang tidak ditentukan jika Presiden Taiwan Tsai Ing-wen, yang kini mengunjungi benua Amerika, bertemu Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy.
Mereka dijangka bertemu di Los Angeles dalam perjalanan pulang ke Taipei bulan ini dari Amerika Tengah.
(Foto Fail/ REUTERS)
China memulakan 'permainan perang' di sekitar Taiwan pada Ogos lalu itu ketika Nancy Pelosi ketika itu Speaker Dewan Perwakilan AS melawat Taipei, dan meneruskan aktiviti ketenteraan berhampiran Taiwan, walaupun dalam skala dikurangkan.
Seorang pegawai kanan Taiwan memberitahu Reuters minggu ini China tidak mungkin mengulangi latihan besar seperti itu, tetapi semua persiapan dibuat sekiranya China bertindak tidak rasional.
Sementara itu, sembilan pesawat China melintasi garisan median pada Jumaat menjalankan rondaan kesediaan tempur, satu langkah yang menurut Kementerian Pertahanan Taiwan telah sengaja menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keamanan dan kestabilan. - REUTERS