Wawrinka sebak tumpas kepada Berrettini dalam aksi terakhir Grand Slam

Stan Wawrinka (tengah)/ Foto AFP

NEW YORK, 1 Sept – Bekas juara Terbuka AS, Stan Wawrinka mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Grand Slam selepas tewas straight set kepada pemain Itali, Matteo Berrettini ketika pusingan pembukaan di Flushing Meadows, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wawrinka menunjukkan persaingan sengit pada dua set awal namun penguasaannya merosot pada set ketiga.
  • Perlawanan ditamatkan oleh pukulan drop shot Berrettini, mengakhiri aksi Wawrinka di gelanggang.
  • Penganjur menayangkan video sorotan kejayaan lamanya dan penonton memberi tepukan gemuruh sebagai penghormatan.
  • Wawrinka, pemenang tiga gelaran Grand Slam, akan bersara selepas 2026; turut layak ke Terbuka AS menerusi wildcard selepas pengunduran Kypson.

Wawrinka, pemenang tiga kali gelaran Grand Slam yang bakal bersara sepenuhnya selepas musim 2026 memberi saingan sengit pada dua set awal sebelum penguasaannya merosot di set ketiga.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 7-6, 7-6, 6-0.

Sorakan peminat bergema di segenap stadium bagi memberi sokongan kepada jaguh Switzerland itu.

Bagaimanapun, Wawrinka gagal melakukan kebangkitan selepas pukulan drop shot Berrettini menamatkan perlawanan.

Kedua-dua pemain dilihat berpelukan di gelanggang sebelum Berrettini memberi penghormatan khas kepada Wawrinka diiringi tepukan gemuruh penonton.

“Peluang untuk menamatkan aksi di sini amat bermakna buat diri saya. Saya pasti akan merinduinya,” kata Wawrinka penuh sebak dalam ucapan ringkas di Gelanggang Grandstand.

Wawrinka, yang kini pada kedudukan ke-127 dunia mendapat tempat di Terbuka AS menerusi tiket wildcard saat akhir selepas Patrick Kypson menarik diri akibat kecederaan.

Pihak penganjur turut meraikan kerjaya beliau dengan menayangkan video sorotan detik kegemilangannya di New York termasuk kejayaan menewaskan Novak Djokovic pada aksi final 2016.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.