
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menjelaskan pasukan itu tidak mempunyai urusan secara langsung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkaitan permohonan dana bantuan.
- Zulfahmi Khairuddin menjelaskan urusan dana bantuan pasukan disalurkan melalui Sepang International Circuit, bukan secara langsung dengan KBS.
- Beliau menegaskan bakat pelumba muda seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan luar biasa dan sukar ditemui, perlu diberi perhatian KBS.
- KBS memperuntukkan RM3 juta untuk Program MDEV 2025 dan RM1 juta tambahan melalui KWASN bagi sokongan kejuaraan FIM JuniorGP.
Menurut beliau, semua laporan serta hal berkaitan program pembangunan pelumba disalurkan menerusi Sepang International Circuit (SIC) untuk tindakan dan perbincangan lanjut.
“Sebenarnya perkara itu kena tanya dengan pihak SIC kerana saya tidak berurusan terus dengan KBS untuk membincangkan soal peruntukan dana. Saya hanya menghantar laporan melalui SIC dan saya percaya SIC berusaha keras untuk meletakkan sukan permotoran ini dalam perhatian KBS.
“Saya percaya sokongan itu ada. Dari tahun pertama kita bangunkan program ini, KBS sentiasa bersama kita. Tidak adil untuk mengatakan KBS tidak menyokong kerana pelumba kita seperti Danish dan Qabil Irfan adalah aset negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama strategik antara AEON Credit Service dan MSI Racing Team di sini.
Mengulas lanjut mengenai prestasi pelumba muda negara, Zulfahmi menegaskan bahawa bakat yang dimiliki oleh Hakim Danish dan Qabil Irfan adalah sesuatu yang istimewa dan sukar ditemui.
Jelasnya, kedua-dua pelumba berkenaan telah membuktikan keupayaan mereka di peringkat global apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dunia di Red Bull MotoGP Rookies Cup tahun lalu.
“Semua pelumba kita adalah juara. Saya percaya KBS perlu melihat perkara ini dengan lebih baik kerana dua pelumba berbakat ini bukan mudah untuk ditemui, mungkin 10 tahun sekali baru lahir,” tambah beliau.
Terdahulu, KBS telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi Program MDEV Berprestasi Tinggi 2025 yang bertujuan memperkasakan pembangunan bakat permotoran negara secara menyeluruh.
Selain itu, tambahan dana sebanyak RM1 juta turut disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) khusus bagi menyokong penyertaan Hakim Danish dalam saingan FIM JuniorGP World Championship 2025.