Tigers Woods terlepas gelaran saingan TGL

Pemain golf Amerika Syarikat, Tiger Woods sebelum ini terpaksa berehat panjang susulan kecederaan/Foto REUTERS

FLORIDA, 25 Mac – Kepulangan legenda golf, Tiger Woods ke arena kompetitif berakhir hambar apabila pasukannya, Jupiter Links Golf Club tewas 2-9 kepada Los Angeles Golf Club pada final Tomorrow’s Golf League (TGL) di sini, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Los Angeles bangkit dengan tiga eagle berturut-turut untuk meraih kejohanan.
  • Kemunculan Woods dilihat sebagai petanda positif untuk beraksi di Masters bulan depan.
  • Woods sedang pemulihan daripada kecederaan kaki dan pembedahan belakang, menyasarkan kembali di Augusta mulai 9 April.
  • TGL ialah liga golf berkonsep teknologi tinggi yang diasaskan Woods bersama Rory McIlroy tahun lalu.

Dalam aksi final tersebut, Jupiter Links bermula baik dengan mendahului 2-0 sebelum Los Angeles bangkit menerusi tiga eagle berturut-turut untuk meraih kejuaraan.

Meskipun kalah, kemunculan Woods dilihat sebagai petanda positif bahawa beliau mampu beraksi pada saingan Masters bulan depan.

Woods yang kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan kaki serta pembedahan belakang, menyasarkan untuk kembali beraksi pada saingan yang bermula 9 April ini di Augusta.

Pemain berusia 50 tahun itu telah merangkul 15 gelaran utama, termasuk lima Jaket Hijau sebagai juara Masters sepanjang kariernya.

TGL merupakan liga golf berkonsepkan teknologi tinggi yang diasaskan Woods bersama Rory McIlroy tahun lalu.