Terbuka Artik: Aaron-Wooi Yik mara ke pentas akhir

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan pasangan Thailand dalam separuh akhir, mara ke final Terbuka Artik 2025.
  • Kemenangan seri 21-15, 21-14 dicapai dalam 23 minit di Vantaan Energia Areena.
  • Mereka akan bertemu Ben Lane-Sean Vendy dari England dalam perlawanan akhir esok.
  • Aaron-Wooi Yik buru gelaran keempat musim ini selepas tiga kejayaan terdahulu.
  • Keputusan ini menyusul kejayaan beregu wanita Pearly Tan-M-Thinaah mara ke final juga.

Beregu pilihan utama kejohanan itu menewaskan pasangan pilihan kelapan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-15 dan 21-14 pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 23 minit di Vantaan Energia Areena.

Menanti pasangan itu di pentas akhir esok adalah gandingan England Ben Lane-Sean Vendy yang mara selepas mengecewakan satu lagi pasangan negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dengan keputusan 16-21, 23-25.

Aaron-Wooi Yik kini semakin hampir memburu gelaran keempat musim ini selepas kejayaan pada Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik mengekori beregu wanita utama negara Pearly Tan-M-Thinaah yang lebih awal menempah tiket ke pusingan akhir.

Pearly-Thinaah yang muncul naib juara pada edisi lepas dijadualkan bertemu gandingan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di perlawanan akhir hari ini. – BERNAMA