Tan Sri Hamidin tidak teruskan pencalonan, beri laluan kepada era baharu FAM

Tan Sri Hamidin Mohd Amin / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 September – Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyifatkan keputusannya untuk tidak meneruskan pencalonan dalam pemilihan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai usaha membuka ruang kepada badan induk itu melangkah ke era baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan membolehkan tumpuan kepada agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
  • Keputusan bukan mudah kerana beliau menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti ahli gabungan.
  • Mengutamakan kepentingan FAM, mengelakkan perpecahan, memastikan peralihan kepimpinan lancar, serta berterima kasih dan memohon maaf.

Presiden Kehormat FAM itu berkata keputusan berkenaan juga membolehkan tumpuan diberikan kepada agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya lakukan, lebih-lebih lagi apabila saya dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada sebahagian besar ahli gabungan FAM,” katanya.

Menurut Tan Sri Hamidin, kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara menjadi pertimbangan utama dalam membuat keputusan itu, selain mahu memastikan proses pemilihan tidak mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli gabungan.

Beliau juga mahu proses peralihan kepimpinan berjalan lancar supaya barisan kepimpinan seterusnya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan bola sepak negara.

Dalam pada itu, Tan Sri Hamidin merakamkan penghargaan kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong Harimau Malaya atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepadanya.

“Saya ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada semua yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepada saya selama ini dan sepanjang proses pencalonan baru-baru ini,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.