
KUALA LUMPUR, 4 September- Tuan rumah, Universiti Malaya (UM) membuktikan kehebatan di laman sendiri apabila atlet renangnya, Muhammad Dhuha Zulfikry, menyumbang pingat emas dalam acara 800 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, hari ini.
- Catatan masa 8:21.31 saat, menamatkan perlumbaan dengan kelebihan ketara.
- Pingat perak milik Universiti UCSI (9:09.02), gangsa kepada Universiti Nottingham Malaysia (9:16.26).
- Beliau berpuas hati, akan turun acara 400m gaya bebas esok.
- Sebelum ini beliau memenangi emas 1,500m gaya bebas pada SUKMA Selangor 2026 (15:59.79).
Berlangsung di kolam renang UM, Muhammad Dhuha mencatat masa 8:21.31 saat untuk menamatkan saingan dengan kelebihan ketara berbanding pencabar lain.
Pingat perak diraih wakil Universiti UCSI dengan catatan 9:09.02 saat, manakala gangsa menjadi milik Universiti Nottingham Malaysia (UNM) menerusi catatan 9:16.26 saat.
Muhammad Dhuha menyifatkan kejayaan meraih emas buat UM pada penampilan sulungnya di SUKIPT sebagai satu pencapaian membanggakan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya rasa prestasi hari ini agak memuaskan kerana catatan masa 800m tadi hanya kurang tiga saat berbanding rekod saya di temasya SUKMA baru-baru ini.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan esok saya akan turun sekali lagi bagi acara tumpuan, iaitu 400m gaya bebas,” katanya.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata beliau kini berada pada tahap kecergasan terbaik tanpa sebarang kecederaan, selain menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun yang bermula 19 September ini.
“Secara peribadi, sasaran saya selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Asia.
“Saya sedang berusaha keras untuk merealisasikan sasaran itu dan jika berjaya, ia akan menjadi penampilan pertama saya di temasya berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Dhuha mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul pingat emas acara 1,500m gaya bebas lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Beliau mencatat masa 15:59.79 saat untuk mengetepikan cabaran wakil Pulau Pinang dan Selangor.