
KUALA LUMPUR, 14 November – Keputusan mempertandingkan 43 jenis sukan pada temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia dibuat secara kolektif dan mendapat persetujuan kesemua 11 negara anggota Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).
- Pemuktamadan acara dilaksanakan selaras dengan Piagam dan Peraturan SEAGF, khususnya Peraturan 34, yang mengawal pemilihan dan kelulusan program sukan.
- Proses pemilihan bermula 8 April, senarai awal 38 sukan; rayuan sebulan, 29 sukan merayu, perbincangan kolektif menambah lima sukan.
- Norza hormati kritikan Indonesia tetapi tegaskan keputusan dibuat selepas meneliti semua rayuan; beberapa acara Olimpik tidak tersenarai.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, pemuktamadan acara berkenaan dilaksanakan selaras dengan Piagam dan Peraturan SEAGF, khususnya Peraturan 34 yang mengawal selia pemilihan serta kelulusan program sukan tersebut.
Proses pemilihan jenis sukan bagi edisi ke-34 Sukan SEA itu dijalankan secara sistematik sejak 8 April lalu menerusi senarai awal melibatkan 38 jenis sukan, sebelum ruang rayuan dibuka selama sebulan kepada persatuan sukan dan negara anggota.
“Ketika proses rayuan, sebanyak 29 sukan mahu dimasukkan dan perbincangan secara adil serta kolektif dibuat di peringkat kesemua 11 negara. Keputusan akhirnya menambah lima jenis sukan, sekali gus menyaksikan 43 sukan diluluskan pada Julai,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-217 di sini, pada Sabtu
Tambah beliau, sebanyak 473 acara telah dikemukakan baru-baru ini dan turut dipersetujui oleh kesemua 11 negara anggota.
Mengulas kenyataan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir yang dilaporkan mempersoalkan tindakan Malaysia menggugurkan beberapa acara Sukan Olimpik daripada saingan Sukan SEA 2027, Tan Sri Mohamad Norza memaklumkan pihaknya menghormati pandangan negara jiran itu.
Antara sukan yang tidak tersenarai pada temasya berkenaan ialah memanjat tembok, mendayung, bola tampar pantai, gusti dan bola baling.
Tan Sri Mohamad Norza yang juga Presiden SEAGF berpendapat Indonesia berhak menyuarakan perkara itu, namun menegaskan segala keputusan dibuat selepas meneliti keseluruhan rayuan yang dibawa.
“Bagi saya, itu hak mereka untuk membangkitkan perkara itu tetapi seperti yang saya katakan, tanggungjawab saya sebagai Presiden SEAGF. Sudah tentu saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari kerana bersama-sama saya sewaktu proses (rayuan),”
“Kami juga meneliti rayuan dikemukakan dan keputusan itu dibuat selepas melihat kepada semua rayuan yang dibawa.” jelasnya.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 di empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.