
NAGOYA, 24 September- Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan membelasah Thailand 10-0 dalam aksi Kumpulan B di Gifu, Jepun, hari ini.
- Faizal Saari dan Azrai Aizad masing-masing meledak dua gol.
- Gol tambahan dicetak Muhajir, Aminudin, Ashran, Shello, Faiz Helmi dan Akhimullah.
- Kemenangan ketiga berturut-turut membawa Malaysia ke puncak Kumpulan B dengan sembilan mata.
- Aksi seterusnya menentang Pakistan dan China, hanya dua pasukan teratas mara ke separuh akhir.
Dua penyerang Speedy Tigers iaitu tonggak berpengalaman Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal mencuri tumpuan, apabila masing-masing meledak dua gol pada aksi di Gifu Prefectural Green Stadium.
Faizal membuka tirai pesta jaringan Malaysia apabila menyumbat gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-18, sebelum penyerang Muhajir Abdu Rauf menggandakan kelebihan berpunca dari situasi sama dua pada minit ke-20.
Selang seminit kemudian, giliran Azrai merobek gawang lawan menerusi jaringan padang, manakala pemain pertahanan Aminudin Mohd Zain melebarkan kedudukan hasil situasi sama pada minit ke-28.
Pasukan bimbingan pengendali dari Afrika Selatan Brendon Carolan, terus menambah derita Thailand apabila meledak dua gol padang dalam masa seminit oleh Faizal dan tonggak tengah Ashran Hamsani pada minit ke-35.
Kenduri gol Malaysia diteruskan dengan empat lagi jaringan padang oleh Azrai pada minit ke-41, Shello Silverius pada minit ke-55, Faiz Helmi Jali pada minit ke-59 dan Akhimullah Anuar Esook pada penghujung perlawanan.
Kemenangan ketiga berturut-turut Malaysia menyaksikan mereka kini mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata, manakala Pakistan di tempat kedua dengan enam mata, China di tempat ketiga juga dengan enam mata diikuti Oman, Uzbekistan dan Thailand tanpa sebarang mata.
Malaysia memulakan kempen Sukan Asia kali ini dengan membenam Uzbekistan 7-0 Ahad lepas, disusuli kemenangan ke atas Oman 7-0 Selasa lepas.
Speedy Tigers akan meneruskan cabaran menentang Pakistan Sabtu ini, sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan China Isnin depan.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula Sabtu lepas berlangsung sehingga 4 Oktober ini. -BERNAMA