
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kebajikan dan keperluan setiap atlet negara yang bakal menggalas cabaran di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan menjadi agenda utama dalam pertemuan antara Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Mohd Sumali Reduan bersama pengurus pasukan, pada Khamis.
- Sesi perbincangan memastikan persediaan, pemakanan dan sokongan teknikal berada pada tahap optimum.
- Cadangan membawa cef khas ke Jepun akan diperincikan, keputusan akhir bergantung kepada maklum balas pengurus pasukan.
- Mesyuarat turut membincangkan aspek logistik, taklimat persediaan akhir dan sukan berpotensi pingat.
- Atlet e-sukan, angkat berat, renang dan terjun komited; penekanan kepada kekuatan mental dan pencegahan kecederaan.
Sesi perbincangan tersebut bertujuan memastikan segala aspek persediaan, termasuk pemakanan dan sokongan teknikal, berada pada tahap optimum sebelum temasya bermula.
Menurut Ketua Kontinjen (CDM) negara Datuk Mohd Sumali Reduan, cadangan untuk membawa cef khas ke Jepun merupakan antara perkara yang akan diperincikan.
Walau bagaimanapun, keputusan akhir bergantung kepada keperluan dan maklum balas daripada setiap pengurus pasukan.
“Setakat ini, perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan. Kita belum bercadang untuk membawa cef ke sana secara mandatori, kecuali jika terdapat keperluan mendesak daripada sukan tertentu.
“Saya akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat bagi melihat maklum balas dan keperluan sebenar mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bertemu atlet, hari ini.
Selain aspek logistik dan pemakanan, mesyuarat tersebut juga akan menyentuh mengenai taklimat persediaan akhir serta mengenal pasti jenis sukan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia.
Mengulas mengenai tahap kesediaan atlet pula, beliau berpuas hati terhadap perkembangan positif yang ditunjukkan melalui lawatan ke beberapa pusat latihan.
“Atlet daripada sukan e-sukan, angkat berat, renang dan terjun dilihat sangat komited. Persiapan mereka berada di landasan yang betul, namun saya tekankan agar aspek kekuatan mental terus diberi perhatian bagi menangani tekanan menjelang hari pertandingan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Datuk Mohd Sumali turut mengingatkan agar semua atlet lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada saat akhir yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk beraksi di pentas tertinggi Asia itu.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.