Skuad negara sedia berdepan cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026

Datuk Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR, 4 September – Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan tidak mahu isu status pemain Thailand yang sedang menjalani penggantungan mengganggu fokus menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad negara bersedia berdepan sesiapa sahaja, termasuk sekiranya kelima-lima pemain Thailand dibenarkan beraksi.
  • Kelima-lima pemain berkemungkinan tidak dapat disenaraikan selepas senarai pendek ditutup; keputusan membayar denda dibuat kemudian.
  • Lima pemain berkenaan: Phutawan Sopa, Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Sittipong Khamchan, Chattuphon Siriart.
  • Malaysia diundi Kumpulan B acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun; acara regu juga dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Beliau menyatakan skuad negara bersedia berdepan siapa sahaja yang diturunkan Thailand, termasuk sekiranya lima pemain terbabit dibenarkan beraksi.

Berdasarkan maklumat semasa, kelima-lima pemain itu berkemungkinan tidak dapat disenaraikan selepas senarai pendek Sukan Asia ditutup.

“Tetapi apa yang saya lihat, senarai pendek itu sebenarnya sudah ditutup sebelum ini, sekitar awal Julai. Jadi, keputusan yang membenarkan mereka membayar denda dan kembali beraksi dibuat selepas senarai pendek tersebut ditutup.

“Ada senarai panjang dan senarai pendek. Dalam senarai panjang memang ada nama mereka, tetapi dalam senarai pendek nama mereka tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Akademi Sepak Takraw Malaysia, di ibu negara.

Lima pemain berkenaan ialah Phutawan Sopa, Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) susulan insiden meninggalkan gelanggang pada final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026, Mei lalu.

Beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan mengenai status pemain terbabit kepada ISTAF dan menegaskan perkara itu tidak akan dijadikan gangguan kepada skuad negara.

“Itu terpulang kepada ISTAF kita bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja, termasuk Thailand. Dari segi teknikal, saya tidak mahu perkara ini dijadikan isu besar.

“Walaupun saya ada berbincang mengenai perkara ini, saya tidak mahu ia menjejaskan prestasi pemain negara atau menimbulkan persepsi seolah-olah kita takut untuk berdepan dengan mereka,” katanya lagi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun, manakala acara regu turut menempatkan negara dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.