PSM kekal 12 pemain galas cabaran di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026

Datuk Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR, 4 September – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengekalkan 12 pemain yang membantu Malaysia meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 untuk menggalas cabaran negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan pengalaman luas pemain di pentas antarabangsa.
  • PSM menegaskan Sukan Asia bukan medan eksperimen; skuad terbaik dihantar untuk memburu pingat emas.
  • Malaysia diundi Kumpulan B acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun; regu bersama Vietnam dan Myanmar.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa selain pengalaman luas kesemua pemain beraksi di pentas antarabangsa.

Temasya itu bukan medan untuk melakukan eksperimen atau memberikan pendedahan kepada pemain muda, sebaliknya PSM mahu mempertaruhkan barisan terbaik bagi memburu pingat emas.

“Pemain-pemain ini sedang berada pada prestasi terbaik dan tiada sebab untuk kita mengetepikan mereka. Mereka sudah terbukti ketika beraksi di Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa lain. Dari segi mental dan pengalaman, mereka sudah cukup kuat.

“Sukan Asia bukan medan untuk kita mencuba atau memberikan pendedahan kepada pemain muda. Ini medan untuk kita memburu pingat, khususnya emas ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Akademi Sepak Takraw Malaysia, di ibu negara.

Seramai 12 pemain dipilih untuk membawa cabaran negara, dengan posisi tekong menampilkan Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zulkifli Razak dan Zarif Marican Ibrahim Marican.

Posisi perejam pula dibarisi Azlan Alias, Noraizat Nordin, Afifuddin Razali dan Hafizul Hayazi Adnan, manakala posisi pengumpan menampilkan Farhan Adam, Amirul Zazwan Amir, Aidil Aiman Azwawi dan Zuleffendi Sumari.

Barisan berkenaan akan dikendalikan Ketua Jurulatih Skuad Sepak Takraw Ahmad Jais Baharun dan beliau menyatakan PSM tidak mahu mengambil risiko dengan menyenaraikan pemain muda pada saat akhir semata-mata untuk memberikan pendedahan, memandangkan harapan yang diletakkan terhadap skuad negara begitu tinggi.

“Sebab itu kita perlu senaraikan 12 pemain terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kita tidak boleh mengambil risiko meletakkan dua atau tiga pemain baharu hanya untuk memberikan pendedahan.

“Ini Sukan Asia. Harapan ini bukan harapan saya seorang, tetapi harapan negara yang mahu melihat kilauan emas. Jadi, kita perlu hantar pemain yang kita yakin mampu memberikan persembahan terbaik dan merealisasikan sasaran pingat emas,” jelasnya.

Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan B acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun, manakala acara regu turut menempatkan Malaysia dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Pada Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia meraih dua pingat emas selepas menewaskan Thailand 2-1 dalam acara regu berpasukan dan Vietnam 2-0 dalam acara antara regu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.