Jun Hao mampu kembali pamer prestasi terbaik – Jonassen

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Badminton Negara, Kenneth Jonassen / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 September – Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Badminton Negara, Kenneth Jonassen kekal yakin terhadap kemampuan Leong Jun Hao untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik meskipun aksinya tidak konsisten kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian Jun Hao perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan satu keputusan kejohanan.
  • Secara keseluruhan Jun Hao masih meningkat dan dianggap nombor satu oleh jurulatih.
  • Jonassen puji komitmen latihan serta perkembangan harian; melihat perkembangan positif lawan Christo Popov dan Weng Hong Yang.

Bagi Jonassen, penilaian terhadap Jun Hao perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan satu-satu keputusan kejohanan.

“Jun Hao bagi saya masih nombor satu secara keseluruhan. Dia mempunyai prestasi terbaik secara keseluruhan.

“Kami tahu prestasinya sedikit turun naik, tetapi secara keseluruhan dia masih meningkat,” katanya.

Beliau melihat proses perkembangan pemain berusia 27 tahun itu masih memerlukan masa sebelum mencapai tahap yang diharapkan.

“Mungkin peningkatannya tidak sepantas yang kita mahukan, tetapi saya melihat komitmennya dalam latihan dan perkembangannya hari ke hari.

“Itu yang saya cari. Saya masih berharap pada satu ketika nanti sesuatu akan tercetus dan kami dapat melihat prestasi terbaik yang diinginkan,” katanya.

Jonassen berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.

Jun Hao sebelum ini tersingkir pada pusingan pertama Masters China selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie.

Bagaimanapun, Jonassen mengakui melihat perkembangan positif pemain itu berdasarkan beberapa perlawanan terdahulu, termasuk ketika Jun Hao berdepan Christo Popov dan Weng Hong Yang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.