JSCPT 2026 : Royal Johor berdepan Temasek pada final Ahad ini

Foto Royal Johor Polo Club

JOHOR BAHRU, 4 Sept – Royal Johor mara ke perlawanan akhir Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 selepas menewaskan JCorp 9-5 dalam aksi separuh akhir kedua di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjaringkan tiga gol membantu Royal Johor.
  • Pablo Pieres menyumbang tiga gol, Juan Martin Nero dua dan Gaston Carozo satu.
  • Royal Johor akan berdepan Temasek pada final Ahad ini.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menjadi antara penyumbang utama kemenangan Royal Johor apabila menjaringkan tiga gol dalam perlawanan berkenaan.

Pablo Pieres turut menyumbang tiga gol, manakala Juan Martin Nero menjaringkan dua gol dan Gaston Carozo melengkapkan kemenangan Royal Johor dengan satu gol.

Kemenangan itu menyaksikan Royal Johor mengesahkan slot ke final JSCPT 2026 dan akan berdepan Temasek dalam aksi penentuan kejuaraan Ahad ini.

Temasek terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan Korea Polo 10-9 menerusi golden goal dalam aksi separuh akhir pertama.

Korea Polo bermula garang apabila David Ko meledak gol pembukaan sebelum Matias Mac Donough Jr. menggandakan kelebihan pasukan berkenaan.

Temasek bagaimanapun bangkit menerusi Ignatius ‘Nachi’ du Plessis dan Alfonso ‘Alfon’ Pieres sebelum kedua-dua pasukan silih berganti menguasai permainan sehingga aksi memasuki chukka ketujuh.

Berbaki tiga minit permainan, Ignatius meletakkan Temasek di depan 9-8, namun Matias menyamakan kedudukan 9-9 menerusi pukulan penalti 30 ela pada minit terakhir, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dalam aksi masa tambahan, Alfonso Pieres muncul wira Temasek apabila meledak golden goal untuk mengesahkan kemenangan 10-9.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.