Selangor FC tewas tipis aksi perlawanan akhir pertama ACC

Pemain Buriram United Suphanat Mueanta menjaringkan gol pelawat pada minit ke-25 – Foto SPORTFIVE

PETALING JAYA, 21 Mei – Selangor FC tumpas 0-1 kepada Buriram United dalam aksi perlawanan akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suphanat Mueanta menjaringkan gol pada minit ke-25 menerusi tandukan hasil hantaran Theerathon Bunmathan.
  • Buriram United menunjukkan disiplin pertahanan tinggi di bawah bimbingan Mark Jackson, menyukarkan serangan Selangor.
  • Selangor memperhebatkan tekanan babak kedua diarah Kim Pan-gon, hampir menyamakan melalui tandukan Chrigor minit ke-57.
  • Peluang akhir termasuk rembatan Boumous dan Faisal Halim pada masa kecederaan gagal dituntaskan, aksi timbal balik di Chang Arena 27 Mei.

Kekalahan itu menyaksikan wakil Malaysia berdepan tugas getir menjelang aksi timbal balik bagi menentukan kejuaraan serantau musim ini.

Babak pertama menyaksikan skuad Gergasi Merah cuba menguasai permainan menerusi beberapa gerakan awal, namun Buriram United tampil lebih tersusun dan berjaya memanfaatkan peluang yang diperoleh.

Pasukan pelawat memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi tandukan Suphanat Mueanta dari tengah kotak penalti yang menerima hantaran Theerathon Bunmathan.

Antara aksi perlawanan akhir pertama Selangor FC menentang Buriram United di Stadium MBPJ – Foto SPORTFIVE

Buriram United yang dibimbing Mark Jackson turut mempamerkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan sekali gus menyukarkan usaha Selangor FC mencari jaringan penyamaan.

Bersambung babak kedua, pasukan Merah Kuning kendalian Kim Pan-gon kembali menyusun rentak dengan meningkatkan tekanan ke atas lawan.

Selangor hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Chrigor pada minit ke-57, namun percubaannya sekadar melepasi palang gol.

Pada masa kecederaan, Boumous dan Faisal Halim hampir menceriakan penyokong The Red Giants, namun gagal menyempurnakan peluang terhidang dan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Aksi timbal balik dijadual berlangsung di Stadium Chang Arena pada 27 Mei ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.